TikTok umum gangguan 'sementara' di AS

TikTok umum gangguan ‘sementara’ di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Laman TikTok memberi amaran kepada pengguna di Amerika Syarikat (AS) bahawa platformnya tidak tersedia buat sementara waktu mulai Ahad 19 Januari untuk mematuhi undang-undang persekutuan yang secara berkesan mengharamkan aplikasi tersebut di seluruh negara itu.

“Kami kesal kerana undang-undang AS yang melarang TikTok akan berkuat kuasa pada 19 Januari dan memaksa kami untuk menjadikan perkhidmatan kami tidak tersedia buat sementara waktu.

“Kami sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan kami di AS secepat mungkin dan kami menghargai sokongan anda. Sila nantikan,” jelas mesej TikTok kepada pengguna.

Dalam temu bual dengan NBC semalam, Presiden terpilih, Donald Trump berkata, beliau mungkin akan memberikan TikTok lanjutan 90 hari untuk membuat perjanjian dengan kerajaan dan memastikan aplikasi itu berfungsi dan boleh digunakan.

“Kemungkinan besar tempoh penangguhan 90 hari akan dibuat, kerana ia adalah wajar.

“Sekiranya saya memutuskan untuk melakukannya, saya mungkin akan mengumumkannya pada Isnin,” katanya kepada NBC.

Undang-undang itu sendiri tidak secara langsung melarang TikTok.

Sebaliknya, ia melarang syarikat daripada mengakses platform melalui gedung aplikasi seperti yang dikendalikan oleh Apple, Google dan perkhidmatan awan melainkan syarikat induk ByteDance menjualnya kepada pemilik yang tidak dikawal oleh China.

Kongres telah menuduh ByteDance mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan China dan mendakwa Parti Komunis China boleh memaksa syarikat itu memberikan maklumat mengenai pengguna AS atau menyebarkan propaganda di platform tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN