SYDNEY: Seorang wanita Sydney berada di unit rawatan rapi (ICU) dan dua lagi sedang dirawat di hospital kerana disyaki mengalami botulisme, dikaitkan dengan suntikan anti kedut secara haram yang dilakukan di rumah.
Kes tersebut mendorong Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya hanya mendapatkan suntikan kosmetik daripada pengamal perubatan berdaftar bagi mengelakkan risiko ‘kemudaratan serius dan kematian’.
Menurut NSW, wanita berusia 51 tahun itu dipercayai menerima suntikan anti kedut tidak sah di sebuah kediaman di Guildford pada 11 Januari lalu.
Mangsa dimasukkan ke Hospital Auburn pada Jumaat sebelum dipindahkan ke Hospital Westmead untuk rawatan intensif dan keadaannya kini stabil, namun masih di bawah pemantauan rapi.
Jurucakap NSW memaklumkan, siasatan berhubung insiden itu sedang dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Aduan Penjagaan Kesihatan dan Jabatan Kesihatan NSW.
“Polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa perubatan selepas aduan diterima oleh Balai Polis Kawasan Cumberland mengenai prosedur kosmetik yang dipercayai dilakukan di sebuah rumah di Guildford,” katanya.
Botulisme berpunca daripada toksin yang menyerang saraf tubuh, menyebabkan kelemahan otot di bahagian muka, mulut dan tekak.
Menurut Jabatan Kesihatan NSW, simptom botulisme boleh muncul sehingga dua minggu selepas suntikan, termasuk kelesuan yang semakin teruk, kesukaran menelan, kelopak mata terkulai, penglihatan kabur serta masalah pernafasan.
Menurut laporan penyelidikan pasaran oleh Grand View Research, industri suntikan kosmetik di Australia bernilai AUD4.3 bilion (RM11 Trilion) pada tahun 2021 dan dijangka berkembang lebih 25 peratus setiap tahun sehingga 2030.
Walaupun suntikan kosmetik memerlukan preskripsi sah daripada doktor, mereka yang memberikan rawatan tersebut tidak diwajibkan untuk menjalani latihan khusus dalam bidang suntikan kosmetik termasuk doktor, doktor gigi dan pengamal jururawat. -AGENSI










