Rumah Paris Hilton terbakar di Los Angeles

Rumah Paris Hilton terbakar di Los Angeles

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Billy Crystal dan Paris Hilton antara selebriti yang kehilangan tempat tinggal dalam bencana kebakaran hutan dan kawasan kejiranan di Los Angeles.

Lebih 1,000 bangunan musnah apabila enam kebakaran berasingan dikesan di dalam dan sekitar bandar itu, yang dipenuhi dengan rumah agam bintang filem Hollywood dan selebriti terkenal.

Beberapa kemusnahan terburuk adalah di kawasan indah Pacific Palisades, di mana api marak yang ditiup angin kencang memusnahkan lebih 26,000 ekar tanah sejak Selasa.

Jennifer Aniston, Bradley Cooper, Tom Hanks, Reese Witherspoon, Adam Sandler dan Michael Keaton juga dilaporkan mempunyai rumah di Pacific Palisades.

Pewaris hotel terkemuka, Paris Hilton mengumumkan kehilangan rumahnya di Malibu.

“Duduk bersama keluarga saya menonton berita dan melihat rumah kami di Malibu hangus di kaca TV secara langsung adalah sesuatu yang tidak perlu dialami oleh sesiapa pun.

“Rumah ini adalah tempat kami membina begitu banyak kenangan berharga. Hati dan doa saya ditujukan kepada setiap keluarga yang terjejas akibat kebakaran ini,” tulisnya dalam catatan di Instagram.

Sebilangan besar kawasan kejiranan di jalan lereng bukit yang terletak di Pergunungan Santa Monica dan berliku ke pantai di sepanjang Lautan Pasifik telah menjadi abu.

Pelakon, James Woods yang membintangi filem Hollywood termasuk Nixon dan Casino, menitiskan air mata dalam temu bual di CNN ketika menggambarkan kehilangan harta benda Pacific Palisades miliknya.

“Suatu hari anda berenang di kolam dan keesokan harinya semuanya hilang,” katanya kepada rangkaian itu.

Woods tidak dapat menahan sebak ketika menggambarkan bagaimana anak saudara isterinya yang berusia lapan tahun menawarkan simpanannya untuk membantu membina semula rumah mereka.

Sementara itu, pelakon, Billy Crystal dalam satu kenyataan berkata, dia dan isterinya, Janice sedih dan amat kecewa dengan kehilangan rumah mereka di Pacific Palisades yang menjadi tempat tinggal keluarganya sejak 1979.

“Kami membesarkan anak dan cucu kami di sini. Setiap inci rumah kami dipenuhi dengan kasih sayang. Kenangan indah yang tidak akan terpadam.

“Kami sudah tentu patah hati tetapi dengan kasih sayang anak-anak dan rakan-rakan kami, kami akan melalui dugaan ini,” kata bintang When Harry Met Sally itu dalam satu kenyataan.

Selebriti lain yang terpaksa meninggalkan rumah mereka termasuk bintang Star Wars, Mark Hamill; pelakon Schitt’s Creek, Eugene Levy; hos terkenal, Cameron Mathison dan aktor, Miles Teller.

Pelakon, Steve Guttenberg yang membintangi Police Academy dilaporkan gigih membantu anggota bomba mengalihkan kereta untuk mengosongkan laluan bagi memudahkan trak bomba masuk.

Guttenberg malah menggesa rakan penduduk Pacific Palisades untuk meninggalkan kunci di dalam kereta mereka yang ditinggalkan supaya kenderaan itu mudah dialihkan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×