JOHANNESBURG: Seorang pelancong maut selepas diserang dan dipijak seekor gajah di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan semalam, menurut kenyataan agensi taman negara SAN Parks.
“Kemalangan tragis berlaku apabila seorang pelancong diserang dan dipijak oleh gajah berhampiran Sungai Crocodile di Pintu Malelane. Malangnya, kejadian ini mengakibatkan kehilangan nyawa,” kata kenyataan itu.
SAN Parks turut meminta orang ramai agar tidak memuat naik gambar kejadian tersebut di media sosial bagi menghormati mangsa dan keluarga.
Dengan keluasan sekitar 20,000 kilometer persegi yang meliputi kawasan sehingga ke sempadan Mozambique, Taman Negara Kruger merupakan taman permainan terbesar di Afrika Selatan.
Selain kawasan berpagarkan khemah dan beberapa tempat perkelahan, pengunjung di taman itu dilarang keluar dari kenderaan mereka.
“Maklumat lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” tambah kenyataan itu.
Untuk rekod, pada tahun 2021, seorang individu yang disyaki pemburu haram turut maut akibat serangan gajah di taman sama. -AGENSI










