Pelabuhan China alami kesesakan luar biasa

Pelabuhan China alami kesesakan luar biasa

PELABUHAN Yantian di Shenzhen, China.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHENZHEN: Para pengeksport bersaing untuk menghantar kargo hingga mencetus kesesakan luar biasa di Pelabuhan Yantian di Shenzhen menjelang sambutan Tahun Baharu Cina serta kebimbangan terhadap kemungkinan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan dari China.

Pelabuhan Yantian yang merupakan antara terbesar dan menyumbang satu perempat eksport China ke AS terpaksa meningkatkan kuota harian kontena sebanyak 15 peratus kepada 15,000 unit dari 20 hingga 28 Januari.  

Namun, kesesakan di pelabuhan itu menyebabkan kos penghantaran lori meningkat lebih tiga kai ganda, sekali gus memberi kesan kepada margin keuntungan pengeksport.

Selain itu, caj tambahan untuk penghantaran kontena juga mencecah lebih 1,000 yuan (RM604) akibat situasi tersebut.  

Keadaan itu berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pentadbirannya sedang mempertimbangkan duti punitif sebanyak 10 peratus ke atas import dari China, dengan 1 Februari disebut sebagai tarikh akhir bagi keputusan itu. 

Langkah tersebut dijangka memberi kesan kepada permintaan AS terhadap produk China.  

Kementerian Perdagangan China turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan AS bagi mempromosikan pembangunan hubungan perdagangan yang stabil dan sihat, apabila ditanya mengenai ancaman tarif baharu oleh Trump.  

Tindakan proaktif sudah diambil lama sebelum Trump secara rasmi memegang jawatan pada 20 Januari di mana beberapa syarikat AS mempercepatkan penghantaran mainan, perabot dan barangan elektronik serta menambah stok mereka yang turut menyumbang kepada peningkatan eksport China pada Disember lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN