WASHINGTON: Beratus-ratus veteran dan pegawai Amerika Syarikat (AS) mahu Presiden terpilih, Donald Trump mengekalkan visa khas dan program penempatan semula untuk warga Afghanistan yang bekerja untuk AS semasa perang 20 tahun menentang Taliban.
Surat yang ditandatangani oleh veteran, pegawai dan beberapa individu terkenal akan dihantar kepada Trump dan pemimpin Kongres melalui program anjuran #AfghanEvac, gabungan terkemuka kumpulan yang bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu rakyat Afghanistan memulakan kehidupan baharu di AS.
“Ramai di antara kami telah bekerja rapat dengan jurubahasa Afghanistan, tentera dan keluarga yang mempertaruhkan segala-galanya untuk melindungi dan membimbing kami.
“Meninggalkan mereka sekarang adalah pengkhianatan terhadap nilai yang kita perjuangkan selain mempertahankan kepercayaan yang dibina melalui perjuangan serta pengorbanan yang dikongsi selama bertahun-tahun,” jelas draf surat itu.
Surat itu menyeru Trump dan pemimpin Kongres untuk terus membiayai penempatan semula warga Afghanistan yang berisiko dan keluarga mereka termasuk merayu Kongres meluluskan tambahan 50,000 Visa Imigresen Khas (SIV).
Had semasa 50,500 SIV dijangka habis lewat musim panas ini atau awal musim gugur.
Ketua #AfghanEvac, Shawn VanDiver berkata, surat itu menggambarkan kebimbangan bahawa Trump akan menyekat program SIV dan penempatan semula sebagai sebahagian daripada tindakan keras yang dijanjikannya terhadap golongan migran.
“Terdapat kebimbangan Trump dan penasihatnya, Stephen Miller akan sekali lagi membina halangan birokrasi yang melambatkan atau malah menghentikan program SIV dan penempatan semula pelarian, meninggalkan sekutu Afghanistan kami sekali lagi,” kata VanDiver kepada Reuters.
Miller ialah arkitek dasar imigresen tegas penggal pertama Trump dan dijangka mengekalkan peranan itu sebagai timbalan ketua kakitangan apabila Trump mengangkat sumpah buat kali kedua pada 20 Januari.
Bagaimanapun, penasihat keselamatan negara Trump yang akan datang, Michael Waltz merupakan bekas pegawai pasukan khas AS yang berkhidmat di Afghanistan dan menyokong program SIV serta penempatan semula.
Trump menjadikan kebanjiran pendatang asing sebagai isu utama kempen presidennya, berjanji untuk meningkatkan keselamatan sempadan dan menghantar pulang sejumlah besar pendatang tanpa izin.
VanDiver berkata, setakat petang Rabu, surat itu sudah ditandatangani secara dalam talian oleh lebih 380 veteran, termasuk Jack McCain, anak kepada mendiang Senator, John McCain, bekas pegawai persekutuan negeri dan tempatan serta ramai rakyat AS.
Beliau merancang menyerahkan surat itu kepada pemimpin Kongres Republikan dan Demokrat minggu depan.
Lebih 183,000 warga Afghanistan dan ahli keluarga yang berisiko telah ditempatkan semula di AS sejak Taliban merampas Kabul pada Ogos 2021.
Menurut pegawai Jabatan Negara, ketika ini terdapat lebih 20,000 permohonan SIV sedang diproses, tidak termasuk keluarga pemohon tetapi kira-kira 40 peratus daripada permohonan yang lengkap telah ditolak.-REUTERS










