Mesir umum penubuhan bilik operasi pantau gencatan senjata Gaza

Mesir umum penubuhan bilik operasi pantau gencatan senjata Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Mesir secara rasmi mengumumkan penubuhan bilik operasi bersama bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, memudahkan kemasukan bantuan ke Gaza dan pergerakan rakyat Palestin di laluan sempadan.

Pengumuman itu dibuat oleh Kementerian Luar Mesir sehari selepas Kaherah menjadi tuan rumah mesyuarat antarabangsa bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian yang dicapai pada Rabu lalu.

“Mesir mengumumkan kejayaan usaha gigih yang telah dijalankan sejak bermulanya krisis Gaza pada 7 Oktober 2023, dengan kerjasama rakan serantau dan antarabangsa, untuk mencapai perjanjian gencatan senjata,” menurut kenyataan itu.

Kementerian tersebut menegaskan komitmen Mesir untuk bekerjasama dengan Qatar dan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kestabilan perjanjian tersebut melalui penubuhan bilik operasi bersama.

Bilik operasi yang berpangkalan di Mesir akan bertanggungjawab memantau pertukaran tebusan dan tahanan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pergerakan rakyat selepas pembukaan semula laluan sempadan Rafah.

Menurut Kementerian Luar Mesir, perjanjian gencatan senjata itu dijangka berkuat kuasa hari ini selepas Hamas menyerahkan senarai nama tebusan Israel yang akakn dibebaskan.

Kenyataan itu turut menekankan perjanjian berkenaan melibatkan komitmen mediator untuk melaksanakan semua fasa dalam tempoh yang telah dipersetujui, dengan matlamat untuk mengakhiri tragedi kemanusiaan yang telah ditanggung oleh penduduk Gaza selama lebih setahun.

Mesir turut merakamkan penghargaan kepada Qatar atas kerjasama erat dalam menjayakan perjanjian tersebut, serta memuji peranan penting yang dimainkan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dan Joe Biden, dalam menyelesaikan krisis tersebut.

Qatar sebelum ini mengumumkan perjanjian gencatan senjata tiga fasa pada Rabu lalu bagi menamatkan lebih 15 bulan serangan maut Israel ke atas Gaza.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, lebih 47,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh manakala lebih 110,700 lagi cedera akibat serangan kejam Israel sejak 7 Oktober 2023. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×