Mampukah Gaza kembali aman?

Mampukah Gaza kembali aman?

PEMUDA Palestin bermain bunga api di sebuah kem perlindungan di Bureij, tengah Gaza bagi meraikan gencatan senjata yang diluluskan Kabinet Israel- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Gencatan senjata di Gaza akhirnya berjaya dikuat kuasakan semalam walaupun lewat hampir tiga jam daripada waktu yang dijadualkan berikutan tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menunda usaha itu di saat-saat akhir.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata, dalam tempoh tiga jam itu, serangan Israel membunuh lapan penduduk Palestin.

Kenyataan dari pejabat Netanyahu dikeluarkan kurang sejam sebelum gencatan senjata sepatutnya ditetapkan pada pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).

Menurut kenyataan itu, Netanyahu mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) meneruskan serangan sehingga Israel menerima senarai nama tebusan untuk dibebaskan daripada Hamas.

Hamas menyifatkan kelewatan itu berpunca daripada kerumitan situasi lapangan dan pengeboman berterusan sebelum akhirnya menerbitkan senarai itu kira-kira pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) dengan memberikan nama tiga wanita Israel sebagai kumpulan tebusan pertama yang dibebaskan.

Israel mengesahkan menerima senarai itu dan menyemak butirannya, sebelum mengesahkan gencatan senjata bermula tepat pukul 11.15 pagi (waktu tempatan).

Imej AFP menunjukkan penduduk Gaza di utara mula bersorak gembira selepas menerima berita itu tetapi ramai mengadu rancangan untuk pulang ke tempat asal mereka digagalkan oleh kelewatan gencatan senjata tersebut.

“Saya dalam perjalanan pulang bersama keluarga apabila kami mendengar bunyi bom. Kami tidak boleh sampai ke rumah kerana keadaan ini masih terlalu berbahaya. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan merasa sangat kecewa,” kata seorang bapa, Mohammed Baraka, 36.

Di Gaza City, sejurus selepas perjanjian itu berkuat kuasa, orang ramai mula meraikannya dengan mengibarkan bendera Palestin di jalanan.

“Saya hampir mati kerana putus asa. Suami menelefon untuk memberitahu saya kami mungkin belum dapat pulang kerana dron masih menembak ke arah orang awam.

“Cukuplah bermain dengan emosi kami. Kami sudah letih. Saya tidak mahu bermalam lagi di khemah ini,” kata seorang penduduk, Maha Abed, 27.

Tentera Israel turut memberi amaran kepada penduduk Gaza supaya menjauhi tenteranya atau wilayah Israel dan menggesa mereka untuk tidak menuju ke zon penampan mahu pun bergerak dari selatan ke utara melalui Lembah Gaza kerana boleh meletakkan mereka dalam risiko bahaya.

ANCAM TERUSKAN PERANG

Dalam pada itu, Israel mengancam untuk meneruskan perang menentang pejuang Hamas sekiranya perbincangan untuk fasa kedua gencatan senjata gagal.

Dalam ucapan di televisyen hanya beberapa jam sebelum gencatan senjata bermula semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan perjanjian fasa pertama adalah bersifat sementara.

Beliau berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan penyandang seterusnya, Donald Trump memberikan Israel hak untuk menyambung semula serangan jika fasa kedua perjanjian dengan Hamas tidak dilaksanakan.

Perkembangan itu seolah-olah menggambarkan perjanjian ‘longgar’ yang dimeterai antara Israel dan Hamas, seperti mana berlaku di Lubnan antara pasukan rejim dengan kumpulan Hezbollah.

Bahkan, perjanjian yang bersifat sementara itu tidak menjamin Israel berhenti melakukan serangan dan penjajahan di wilayah Palestin, sebaik sahaja rejim berjaya mendapatkan semula kesemua tebusan dari Gaza.

Apatah lagi, ‘dendam’ Israel untuk menghapuskan Hamas secara total masih belum terlaksana, meskipun ia sudah membunuh ramai pemimpin tertinggi pasukan pejuang itu.

PERJANJIAN MERAGUKAN

Dua hari sebelum Kabinet Israel meluluskan gencatan senjata, Pejabat Netanyahu mengedarkan kenyataan dikaitkan dengan seorang pegawai kanan politik, yang berjanji tidak akan berundur dari Koridor Philadelphi.

Namun, teks perjanjian antara Israel dan Hamas, yang diumumkan oleh Doha pula menunjukkan sebaliknya, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut teks itu, pihak Israel akan secara beransur-ansur mengurangkan pasukan di kawasan koridor semasa peringkat pertama berdasarkan peta yang disertakan dan persetujuan antara kedua-dua pihak.

“Selepas pembebasan tebusan terakhir peringkat pertama, pada hari ke-42, tentera Israel akan memulakan pengunduran dan menyelesaikan proses itu selewat-lewatnya pada hari ke-50,” kata teks itu.

Seramai 33 daripada 98 tebusan Israel, termasuk wanita, kanak-kanak dan lelaki berusia 50 tahun serta tawanan cedera, akan dibebaskan dalam fasa pertama gencatan senjata yang berlangsung selama enam minggu.

Ia sebagai pertukaran kepada 1,890 tahanan Palestin dari penjara Israel, melibatkan 737 tahanan lelaki, wanita dan remaja, serta 1,167 lagi yang ditahan di Gaza sejak perang bermula.

Semasa fasa pertama gencatan senjata, tentera Israel perlu menarik balik sebahagian pasukannya di Gaza dan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dari kawasan utara dibenarkan pulang.

Manakala, fasa kedua melibatkan pertukaran baki tebusan dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, dijangka menyusul bergantung kepada hasil rundingan yang akan bermula 16 hari kemudian.

AMARAN HOUTHI

Kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen mendakwa menyerang kapal pengangkut pesawat AS semalam, dan memberi amaran terhadap ‘akibat’ yang bakal ditanggung jika berlaku pencerobohan semasa gencatan senjata di Gaza.

“Angkatan Bersenjata Yemen memberi amaran kepada pasukan musuh di Laut Merah tentang akibat sebarang pencerobohan terhadap negara kami semasa tempoh gencatan senjata di Gaza.

“Mereka akan menghadapi pencerobohan dengan operasi ketenteraan khusus terhadap pasukan tersebut tanpa sebarang had atau garis merah,” kata kumpulan itu dalam kenyataan, semalam.

Houthi yang menyerang perkapalan di Laut Merah sepanjang perang di Gaza berkata, mereka menyasarkan USS Harry S. Truman dan kapal perang lain dengan dron serta peluru berpandu jelajah.

“Kapal pengangkut pesawat itu terpaksa meninggalkan kawasan operasi,” kata Houthi.

Sebagai sebahagian daripada sekutu Iran, Houthi berulang kali melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel sejak perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023, tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Ia juga melancarkan kempen gangguan terhadap perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden, yang menganggu laluan perdagangan global.

Jumaat lalu, kumpulan Yemen memberi amaran akan meneruskan serangan jika Israel tidak menghormati syarat gencatan senjata dengan Hamas.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN