BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel mengumumkan langkah baharu untuk menetapkan mana-mana tanah di Baitulmuqaddis yang mereka anggap tiada pemilikan sah sebagai hartanah absentee.
Menurut agensi berita Wafa, langkah ini bukan sahaja merampas pemilikan daripada penduduk Palestin tetapi juga menghalang mereka daripada mendapatkan permit bangunan di tanah yang terjejas.
Pentadbiran Baitulmuqaddis melaporkan, dasar itu sudah pun dikuatkuasakan di kawasan seperti Sheikh Jarrah dan Jabal Mukaber, khususnya menyasarkan kejiranan Al-Qanbar dan tanah berhampiran tembok pemisah haram di Abu Dis.
Pegawai memberi amaran skop tindakan itu akan diperluaskan ke seluruh Baitulmuqaddis, dengan tumpuan khusus pada kejiranan Silwan, termasuk Al-Bustan, Batn Al-Hawa dan Ein Al-Lawza, sekali gus memburukkan lagi ketegangan di kawasan yang sudah terdedah dengan ancaman pendudukan haram.
Undang-undang Hartanah Absentee yang dikuatkuasakan pada tahun 1950-an, adalah cara yang digunakan Israel untuk merampas dan memindahkan pemilikan beribu-ribu hartanah rakyat Palestin yang terpaksa melarikan diri atau diusir semasa peristiwa Nakba 1948.
Ia merupakan instrumen undang-undang utama yang digunakan oleh Israel untuk mengambil alih tanah milik pelarian dalaman dan luaran Palestin, dan harta wakaf di seluruh negeri.
Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan bilangan tertinggi insiden peneroka haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Menurut OCHA, kira-kira 1,400 kejadian termasuk serangan fizikal, pembakaran, serbuan ke atas masyarakat Palestin dan kemusnahan pokok buah-buahan direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Ia adalah hampir empat kejadian setiap hari yang telah mengakibatkan rakyat Palestin terkorban, mengalami kerosakan harta benda atau kedua-duanya sekali,” kata OCHA.
Badan itu turut menjelaskan, sekitar 12 peratus penduduk Palestin yang dipindahkan secara dalaman di Tebing Barat yang diduduki menyebut keganasan peneroka dan sekatan akses sebagai sebab utama yang memaksa mereka keluar dari rumah atau komuniti.
“Tahun lalu juga menandakan jumlah kematian kedua tertinggi rakyat Palestin di Tebing Barat sejak rekod OCHA bermula, dengan 2023 merupakan yang tertinggi,” kata badan itu.
Kenyataan itu turut melaporkan lebih 480 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
“OCHA menyatakan bahawa kebanyakan mereka dibunuh oleh tentera Israel,” katanya.-AGENSI










