SANAA: Kumpulan Houthi yang disokong Iran mendakwa telah melancarkan serangan ke atas sebuah kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat (AS) dan memberi amaran akan bertindak balas sekiranya berlaku pencerobohan semasa gencatan senjata di Gaza.
Gencatan senjata selama 42 hari dalam perang Israel-Hamas dijadualkan bermula petang namun ditunda oleh Israel yang mendakwa belum menerima senarai tebusan
“Angkatan Bersenjata Yemen memberi amaran kepada tentera musuh di Laut Merah mengenai akibat daripada sebarang pencerobohan terhadap negara kami sepanjang tempoh gencatan senjata di Gaza.
“Mereka akan berhadapan dengan operasi ketenteraan spesifik tanpa sebarang had atau garis merah,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan tersebut, Houthi mendakwa mereka menyasarkan kapal pengangkut pesawat USS Harry S. Truman dan beberapa kapal perang lain menggunakan dron dan peluru berpandu jelajah.
“Kapal pengangkut pesawat AS terpaksa meninggalkan kawasan operasi,” dakwa kenyataan itu.
Houthi, yang merupakan sekutu Iran, telah melancarkan pelbagai serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023 sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin.
Selain itu, kumpulan tersebut turut melancarkan kempen gangguan terhadap perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden.
Tindakan itu mengakibatkan gangguan serius kepada laluan perdagangan global.
Pada Jumaat lalu, kumpulan Yemen itu memberi amaran akan meneruskan serangan mereka sekiranya Israel gagal mematuhi syarat-syarat gencatan senjata dengan Hamas. -AFP










