WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap beberapa entiti Iran dan Russia, yang didakwa cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden 2024, menurut Jabatan Perbendaharaan AS kelmarin.
Entiti itu melibatkan subsidiari Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan organisasi bersekutu dengan agensi risikan tentera Russia (GRU), yang dituduh cuba mencetuskan ketegangan sosio-politik dan mempengaruhi pengundi AS.
“Kerajaan Iran dan Russia menyasarkan proses pilihan raya serta institusi kita, selain berusaha memecah belahkan rakyat AS melalui kempen maklumat palsu.
“AS akan terus berwaspada terhadap pihak musuh yang berusaha melemahkan demokrasi kita,” kata Pemangku Setiausaha Perbendaharaan untuk Kewangan dan Risikan Antikeganasan, Bradley Smith.
Kedutaan Russia di Washington menafikan tuduhan itu dan menegaskan Moscow tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain, termasuk AS.
Jurucakapnya berkata, Presiden, Vladimir Putin sentiasa menghormati kehendak rakyat AS dan menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat yang digunakan dalam pertarungan politik domestik di Washington.
Sementara itu, Jabatan Perbendaharaan mendakwa pusat pengeluaran reka bentuk kognitif yang dikaitkan dengan IRGC, merancang operasi pengaruh sejak 2023 bertujuan meningkatkan ketegangan dalam kalangan pengundi AS.
Pusat Kepakaran Geopolitik (CGE) yang berpangkalan di Moscow pula dituduh menyebarkan maklumat serta video palsu mengenai calon-calon pilihan raya.
Menurut kenyataan itu, CGE turut mencipta video manipulatif dengan dakwaan tidak berasas terhadap seorang calon naib presiden dalam pilihan raya 2024 selain turut didakwa menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan maklumat palsu yang diedarkan melalui jaringan lebih 100 laman web menyerupai portal berita sah.
Laporan ancaman tahunan AS pada Oktober lalu memberi amaran mengenai Russia, Iran dan China semakin aktif menggunakan kecerdasan buatan untuk menyebarkan maklumat palsu bagi mempengaruhi pilihan raya di negara itu. – REUTERS










