BOGOTA: Lebih 80 orang terbunuh dalam tempoh tiga hari di timur laut Colombia selepas percubaan untuk mengadakan rundingan damai dengan pemberontak Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) gagal, lapor pegawai kerajaan.
ELN melancarkan serangan di wilayah Catatumbo ke atas kumpulan pesaing yang terdiri daripada bekas anggota gerila Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) sejak Khamis lalu.
“Orang awam terperangkap di tengah-tengah pertempuran ganas dan menjelang Ahad, dianggarkan lebih 80 orang terkorban,” kata Gabenor, William Villamizar.
Jumlah korban pada hari Sabtu dianggarkan seramai 60 orang, termasuk tujuh bekas pejuang FARC di lima majlis perbandaran di wilayah pergunungan pengeluar kokain berhampiran sempadan Venezuela itu.
“Antara mangsa yang maut ialah Ketua Masyarakat, Carmelo Guerrero dan tujuh orang yang cuba menandatangani perjanjian damai,” menurut laporan yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan pada lewat Sabtu.
Beribu-ribu orang terpaksa melarikan diri dari kawasan itu, dengan ramai penduduk bersembunyi di pergunungan subur berhampiran atau mencari bantuan di pusat perlindungan kerajaan.
Villamizar berkata, seramai 24 orang cedera dan lebih 5,000 lagi kehilangan tempat tinggal dalam insiden keganasan itu dan kini mencetus situasi kemanusiaan yang amat membimbangkan.
Tentera berkata, lebih 5,000 askar dikerah ke wilayah itu untuk melindungi keselamatan dan mengawal keadaan.-AGENSI










