JAKARTA: Indonesia dijangka berdepan kekurangan bekalan beras bermula Januari tahun hadapan akibat pengeluaran domestik yang lebih rendah berbanding keperluan penduduk, menurut data Kerangka Sampel Kawasan Padi oleh Badan Pusat Statistik (BPS) yang dilakukan pada November lalu.
Defisit beras tersebut diramalkan mencecah 1.39 juta tan pada Januari 2025 dan menurun kepada 0.51 juta tan pada Februari 2025.
Bagi menangani isu ini, Timbalan Ketua Staf Presiden Bidang Ekonomi, Edy Priyono menekankan kepentingan langkah penstabilan harga melalui penggunaan Cadangan Beras Pemerintah (CBP).
“Kita perlu bersiap sedia, baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang,” katanya semasa Mesyuarat Koordinasi Kawalan Inflasi 2024 yang disiarkan di saluran YouTube Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.
Dalam jangka masa pendek, Biro Logistik Negara (Bulog) diarahkan untuk menyalurkan CBP untuk menstabilkan harga, khususnya di kawasan yang mencatatkan lonjakan harga tinggi.
Menurut Edy, langkah ini perlu diteruskan sehingga Februari sebelum negara memasuki musim menuai pada Mac dan April, yang dijangka dapat meningkatkan pengeluaran beras domestik.
“Bulog perlu menyalurkan beras penstabilan bekalan makanan dan harga (SPHP) ke kawasan yang mencatatkan kenaikan harga tinggi. Ini mesti dilakukan untuk memastikan kestabilan harga sekurang-kurangnya sehingga Februari 2025,” ujarnya dipetik Tribun News.
Edy juga turut menggariskan kepentingan strategi jangka panjang, termasuk memanfaatkan tanah terbiar yang tidak digunakan secara maksimum.
Berdasarkan data BPS, terdapat kira-kira 1.5 juta hektar tanah terbiar di seluruh negara dan 51 peratus daripadanya berpotensi untuk dijadikan kawasan pertanian.
Beliau menyeru kerjasama antara Kementerian Pertanian dan kerajaan daerah untuk menggunakan kawasan ini, termasuk melaksanakan program pembangunan saluran pengairan yang dapat menyokong pengeluaran hasil pertanian.
Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan kestabilan pasaran dan kelangsungan bekalan makanan asas untuk rakyat. -AGENSI










