MANILA: Lebih 87,000 penduduk dipindahkan selepas Gunung Berapi Kanlaon di tengah Pulau Negros meletus, menghamburkan debu dan abu panas sehingga 5.6 kilometer ke udara.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) mengarahkan penduduk yang tinggal dalam radius enam kilometer dari gunung berapi tersebut berpindah selepas status amarannya dinaikkan ke tahap tiga.
Kira-kira 46,900 penduduk atau lebih separuh daripada mereka yang dipindahkan tinggal di kawasan La Castellana, Negros Occidental.
“Pihak berkuasa memberi tumpuan kepada perkampungan Barangay Sag-ang di La Castellana kerana arah angin ke barat yang menimbulkan risiko tambahan daripada hujan abu,” katanya.
Agensi itu memanggil kejadian itu sebagai ‘letusan letupan’ berikutan aliran piroklastik yang diperhatikan bergerak ke bawah bahagian tenggara gunung berapi.
Beberapa gempa bumi gunung berapi menggegarkan kawasan itu sebelum letusan berlaku kira-kira pukul 3 petang (waktu tempatan) semalam.
Datuk Bandar Canlaon City, Jose Chubasco Cardenas memberi amaran kepada penduduk supaya bersedia untuk pemindahan paksa apabila pejabat kerajaan ditutup dan perintah berkurung dilaksanakan.
Pihak berkuasa berkata, penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bacolod-Silay yang terletak berhampiran dengan gunung berapi itu masih kekal normal tetapi syarikat penerbangan dinasihatkan mengelak terbang di bawah 3,000 meter.
“Pengendali penerbangan dinasihatkan untuk mengelak daripada terbang berhampiran gunung berapi kerana kemungkinan bahaya letusan wap atau freatik secara tiba-tiba dan aktiviti magmatik awal,” kata satu buletin rasmi dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina.








