TBILISI: Bekas pemain bola sepak Manchester City, Mikheil Kavelashvili dilaporkan bakal dilantik sebagai Presiden oleh Parlimen Georgia yang dipertikaikan, selepas 16 hari protes melanda pekan dan bandar negara ini.
Kavelashvili yang kini berusia 53 tahun, adalah bekas ahli Parlimen daripada Parti Georgian Dream yang semakin berkuasa dan satu-satunya calon untuk jawatan itu.
Beliau menyertai Manchester City dari kelab Georgia, Dinamo Tbilisi pada musim 1995-96 dan menjaringkan tiga gol dalam 28 penampilan untuk kelab itu.
Empat kumpulan pembangkang utama bagaimanapun menolak pelantian Kavelashvili dan memboikot Parlimen, menegaskan pilihan raya yang diadakan pada Oktober lalu telah dicemari penipuan.
Presiden Georgia pro-Barat, Salome Zourabichvili mengutuk pemilihan Kavelashvili sebagai satu penipuan, menegaskan beliau masih memegang satu-satunya institusi Georgia yang sah.
Perdana Menteri, Irakli Kobakhidze menuduh Zourabichvili cuba menjejaskan kepentingan Georgia, menekankan bahawa apabila tempoh jawatannya berakhir pada 29 Disember ini, beliau perlu bersara.
“Kita mempunyai institusi negeri yang sangat kuat, jadi kita pastinya tidak menghadapi kesukaran untuk mengawal keadaan sepenuhnya,” tegas Kobakhidze.
Rakan sekerja parti Nino Tsilosani memberitahu pemberita Zourabichvili bukan lagi presiden di mata orang ramai.-AGENSI










