Ukraine lancar peluru berpandu UK ke Russia

Ukraine lancar peluru berpandu UK ke Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine melepaskan tembakan peluru berpandu Storm Shadow Britain ke Russia, senjata Barat terbaharu yang dibenarkan untuk digunakan ke atas sasaran Moscow sehari selepas ia menembak peluru berpandu ATACMS milik AS.

Serangan itu dilaporkan secara meluas oleh wartawan perang Russia di Telegram dan disahkan oleh seorang pegawainya.

Moscow memberi amaran, penggunaan senjata Barat untuk menyerang wilayah Russia jauh dari sempadan akan mencetus peningkatan besar dalam konflik itu.

Kyiv berkata, pihaknya memerlukan keupayaan untuk mempertahankan diri dengan membedil pangkalan pertahan digunakan Russia untuk menyokong pencerobohan yang memasuki hari ke-1,000 minggu ini.

Akaun wartawan perang Russia di Telegram menyiarkan video termasuk bunyi peluru berpandu  menyerang wilayah Kursk, yang bersempadan dengan timur laut Ukraine.

Sekurang-kurangnya 14 letupan besar kedengaran, kebanyakannya didahului oleh wisel tajam seperti peluru berpandu masuk.

Video yang dirakam di kawasan perumahan itu menunjukkan kepulan asap hitam memenuhi udara dari kejauhan.

Saluran pro-Russian Two Majors di Telegram berkata, Ukraine menembak sehingga 12 Storm Shadows ke wilayah Kursk dan membawa gambar kepingan peluru berpandu dengan nama Storm Shadow yang boleh dilihat dengan jelas.

Britain sebelum ini membenarkan Ukraine menggunakan Storm Shadows, yang mempunyai julat melebihi 250km dalam wilayah Ukraine.

Kerajaan Kyiv telah mendesak rakan kongsi Barat untuk mendapatkan kebenaran menggunakan senjata sedemikian bagi menyerang sasaran jauh di dalam Russia, dan memperoleh lampu hijau daripada Presiden AS, Joe Biden untuk menggunakan ATACMS minggu ini, dua bulan sebelum beliau meninggalkan jawatannya.

Pentadbiran Biden juga memutuskan untuk menghapuskan hutang AS$4.7 bilion (RM22 bilion) kepada Ukraine sebagai usaha terakhir untuk menyokong Kyiv sebelum pentadbiran baharu Donal Trump mengambil alih Rumah Putih.

Mengetahui penggunaan peluru berpandu Ukraine meningkatkan ketegangan, AS menutup kedutaannya di Kyiv semalam sebagai langkah berjaga-jaga terhadapn ancaman serangan udara yang ketara.

Penggunaan pertama ATACMS AS pada Selasa, menyasarkan gudang senjata Russia di wilayah Bryansk di sempadan utara Ukraine, mendorong kata-kata tegas dari Moscow yang mengumumkan perubahan kepada doktrin nuklearnya untuk menurunkan ambang penggunaan senjata atom.

Washington berkata, pihaknya tidak melihat keperluan untuk menyesuaikan postur nuklearnya sendiri dan menuduh Moscow menggunakan retorik yang tidak bertanggungjawab.

Penganalisis tentera berkata, peluru berpandu jarak jauh itu tidak mungkin memberikan Ukraine kelebihan dalam perang tetapi boleh mengukuhkan kedudukannya, terutamanya dalam pertempuran di dalam wilayah Kursk Russia yang dirampasnya pada Ogos lalu.

Siren serbuan udara di Kyiv pada awal petang semalam menggegarkan penduduk.

Tetapi agensi pengintip tentera Ukraine berkata, ancaman serangan dron dan peluru berpandu yang dilaporkan secara meluas di seluruh negara adalah palsu, dan ia menuduh Russia cuba menimbulkan panik dengan mengedarkan mesej dalam talian mengenainya.

“Musuh, yang tidak dapat menundukkan Ukraine dengan kekerasan, menggunakan langkah-langkah ugutan dan tekanan psikologi terhadap masyarakat. Kami meminta anda untuk berwaspada dan tabah,” katanya.

Dengan penutupan sementara kedutaan AS, kedutaan Itali, Sepanyol dan Greece turut mengumumkan menutup pintu mereka di Kyiv.

Kanada juga menggantung perkhidmatan secara peribadi di kedutaannya sementara Perancis tidak berbuat demikian tetapi menggesa rakyatnya supaya berhati-hati.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN