TOKYO: Pasukan saintis Jepun mencipta kaedah mudah untuk mengenal pasti individu yang mungkin menghidap penyakit Alzheimer, dengan menanyakan mereka beberapa soalan ringkas dan permerhatian terhadap tingkah laku mereka.
Kaedah itu dijangka memudahkan pemberian diagnosis dan rawatan awal kepada pesakit.
Penyakit itu dicirikan oleh pembentukan plak protein tidak normal dipanggil amyloid beta yang menyebabkan fungsi otak merosot.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji Universiti Keio dan Hospital Saiseikai Yokohamashi Tobu mendapati, penyakit Alzheimer dapat dikesan dengan mengenal pasti tanda-tanda tolehkan kepala atau head-turning sign (HTS).
Perbuatan menoleh kepala mereka ke arah seorang penjaga untuk mendapatkan bantuan apabila doktor menanyakan beberapa soalan mudah, seringkali dilihat dalam kalangan mereka yang menghidap demensia.
Kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan Alzheimer’s Research & Therapy pada 21 November lalu.
Pasukan yang dipimpin oleh Prof. Daisuke Ito dari Universiti Keio, menjalankan eksperimen ke atas 155 peserta termasuk pesakit demensia dan individu yang sihat, menggunakan soalan-soalan mudah bagi melihat tanda-tanda penyakit Alzheimer berdasarkan jawapan dan tingkah laku mereka.
Peserta ditanya soalan tertentu dan tindak balas lisan serta tingkah laku mereka diperhatikan untuk mengetahui sama ada soalan tersebut boleh menentukan yang mana mempunyai plak amiloid.
Para penyelidik bertanya tiga soalan sama ada mereka merasakan menghadapi kesukaran dalam kehidupan seharian , jika mereka mencatat sebarang berita tertentu sepanjang tiga bulan yang lalu dan jika mereka mempunyai hobi kegemaran.
Lebih 83 peratus daripada mereka yang menjawab ‘Tidak’ kepada kedua-dua dua soalan pertama dan menjawab ‘Ya’ dengan jawapan konkrit untuk soalan ketiga, dikesan mempunyai penyakit Alzheimer.
Para penyelidik juga mendapati bahawa 87 peratus daripada mereka yang menoleh kepada ahli keluarga atau sahabat mereka untuk mendapatkan bantuan semasa temu bual mempunyai penyakit itu.
Ito berkata, ini adalah cara mudah untuk doktor menentukan sama ada pesakit telah menghidap Alzheimer kerana soalan ini boleh ditanya semasa pemeriksaan lisan.
Beliau berkata, kaedah itu juga cukup mudah untuk digunakan oleh bukan doktor seperti kakitangan kemudahan penjagaan warga emas.
Beliau turut berharap kaedah itu akan membantu dalam pengesanan awal Alzheimer.
Ubat yang dipercayai berkesan merawat penyakit itu tersedia sejak tahun lalu di Jepun, yang menjadikan pengesanan awal lebih penting.-AGENSI











