Pengaruh AIPAC ‘rencat’ sekatan senjata AS ke Israel

Pengaruh AIPAC ‘rencat’ sekatan senjata AS ke Israel

PENUNJUK perasaan mengambil bahagian dalam perhimpunan menyokong Lubnan dan menggesa sekatan senjata kepada Israel di hadapan Rumah Putih di Washington, DC.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Penjualan senjata ke Israel kekal sebagai subjek kontroversi, yang mencetuskan perdebatan mengenai undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan kepentingan geopolitik terutamanya ketika konflik berterusan di rantau Asia Barat.

Penjualan senjata kepada Israel bukan sahaja memberi kesan kepada keseimbangan ketenteraan di rantau itu, tetapi menimbulkan persoalan etika kerana ia mempengaruhi kehidupan orang awam di zon konflik.

Setelah lebih setahun peperangan di Gaza dan konflik berlanjutan ke Lubnan, Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi pembekal senjata terbesar kepada Israel, dengan membantu negara haram itu membina pasukan tentera paling canggih dari segi teknologi di dunia.

SOKONGAN KEWANGAN BESAR

Menurut seorang pakar, hampir mustahil untuk Demokrat dan Republikan menghentikan penjualan senjata kepada Israel kerana lobi kuat yang hadir daripada Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel Amerika (AIPAC).

Ketua Pengarang laman web berita The Grayzone, Max Blumenthal berkata, salah satu tawaran pertama yang diterima oleh penggubal undang-undang AS apabila mereka mula berkhidmat ialah lawatan percuma ke Israel, yang dianjurkan oleh AIPAC.

Beliau berkata, ahli politik yang kurang memahami isu Palestin dan menganggap Israel sebagai ‘tanah suci’ menerima sokongan kewangan yang besar untuk kempen mereka.

Katanya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut melawat ahli politik berkenaan dan rangkaian yang menyokong mereka diibaratkan sebagai ‘ketua mafia’.

Blumenthal berkata, ramai ahli politik AS menjadi penyokong kuat kepada Netanyahu, bahkan AIPAC juga boleh beroperasi di Washington dengan mudah kerana wujud prasangka terhadap orang Arab-Muslim.

Menurutnya, dana daripada industri senjata disalurkan terus kepada ahli Kongres AS, dengan Pentagon sering memberi taklimat untuk mempengaruhi pandangan mereka dan media dikawal dalam pelbagai cara.

Beliau berkata, jika AS mengenakan sekatan senjata terhadap Israel, gencatan pasti akan menyusul, namun Washington gagal mengawal rejim itu.

Ramai pemimpin, di luar jangkauan AIPAC, akan menghadapi ancaman pembunuhan, sama seperti yang dialami oleh pemimpin Asia Barat jika mereka enggan memenuhi tuntutan Israel atau mencabar kuasanya.

PELANGGARAN UNDANG-UNDANG

Blumenthal berkata, tindakan Washington membekalkan senjata bernilai berbilion dolar sejak konflik Gaza tahun lalu, membolehkan Israel melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang AS.

Beliau menegaskan, AS adalah ‘rakan subahat’ dalam jenayah perang Israel di Gaza dan boleh dianggap sebagai antara pihak yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Walaupun terdapat ‘surat ancaman’ daripada Ketua Pertahanan AS, Lloyd Austin dan Setiausaha Negara, Antony Blinken, yang meminta 350 trak bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, Israel masih membenarkan hanya 71 trak.

Atas dasar itu, beliau meragui ancaman Washington untuk mengenakan sekatan terhadap Israel, meskipun menurut undang-undang AS, negara yang menghalang bantuan kemanusiaan sepatutnya berdepan pemotongan bekalan senjata.

Mengambil kira laporan Washington Post pada 1 November lalu, yang memetik bukti kematian orang awam di Gaza disebabkan oleh senjata buatan AS, Blumenthal berkata, laporan tersebut mengandungi bukti konkrit.

Sebagai contoh, serpihan bom buatan AS ditemukan di sebuah tempat perlindungan di Beit Lahiya, di mana hampir 100 orang terbunuh.

Blumenthal turut menegaskan, AS menggunakan kuasanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sokongan negara Eropah untuk melindungi Israel daripada bertanggungjawab serta menghalang usaha untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN