PBB dakwa pembinaan di zon penampan Syria langgar gencatan senjata

PBB dakwa pembinaan di Zon Penampan Syria langgar gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Pembinaan yang sedang dijalankan oleh Israel di zon penampan demilitarisasi bersempadan dengan Syria didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata 50 tahun, menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekaligus mampu meningkatkan ketegangan di sempadan yang dikawal Israel di Dataran Tinggi Golan.

Gambar satelit menunjukkan parit-parit dan benteng tanah baru dibina sepanjang zon yang dikenali sebagai Kawasan Pemisah (AoS).

BBC turut melaporkan melihat kenderaan tentera Israel di lokasi pembinaan berhampiran bandar Majdal Shams, serta kerja-kerja baru di kawasan luar bandar di selatan.

Kerja-kerja tersebut dipercayai berada dalam kawasan yang dikawal Israel.

“Pasukan Pemerhati Pelucutan Senjata PBB (UNDOF) menyatakan kebanyakan pembinaan Israel tidak melanggar AoS, namun terdapat beberapa parit yang dibina, dengan perlindungan kenderaan tentera termasuk kereta kebal, telah memasuki kawasan ini. Kenderaan dan anggota tentera Israel turut dilihat memasuki zon penampan,” jelas laporan itu.

Di bawah menara pemerhati di Kem Ziouani milik UNDOF, pagar Israel kelihatan merentasi gunung berapi sementara bendera Syria berkibar di seberang zon pemisah.

Ketua Misi UNDOF, Bernard Lee memberitahu, dua parit besar telah dibina, di samping tiga lagi yang lebih kecil, dengan setiap parit selebar enam meter.

Beliau menganggarkan parit tersebut memasuki AoS di beberapa lokasi, sekitar beberapa meter setiap satunya, namun tidak melawat lokasi itu secara peribadi.

AoS diwujudkan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata Israel-Syria pada 1974 selepas pendudukan Israel di Golan Heights di mana pasukan Israel dikehendaki berada di sebelah barat Garis Alpha manakala pasukan Syria di sebelah timur Garis Bravo di seberang AoS.

Israel telah menduduki Bukit Golan secara unilateral pada 1981, namun tindakan ini tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa kecuali oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2019.

Kira-kira 20,000 warga Syria, kebanyakannya daripada etnik Druze, tinggal bersama peneroka Israel di kawasan tersebut.

Walaupun terdapat kumpulan militan pro-Iran di Syria, sempadan ini kekal tenang kerana pasukan darat Israel bertempur dengan sekutu Iran di Gaza dan Lebanon sepanjang 13 bulan lalu.

Sementara itu, jurucakap Tentera Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Kolonel Nadav Shoshani menegaskan parit-parit tersebut adalah bagi melindungi daripada penyusupan kumpulan pro-Iran dari Syria dan tidak melanggar perjanjian gencatan senjata.

Katanya, Pegawai Israel sudah berhubung dengan PBB mengenai isu itu, sambil menambah IDF hanya beroperasi dalam kawasan Israel bagi memastikan tiada pencerobohan oleh kumpulan pengganas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN