BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akhirnya mengaku bertanggungjawab dalam letupan dahsyat melibatkan peranti komunikasi di seluruh Lubnan, hampir dua bulan lalu.
Sekurang-kurangnya 26 terbunuh dan lebih 3,200 yang lain cedera apabila ribuan peranti kelui meletup di beberapa kawasan di Lubnan pada 17 dan 18 September lalu.
“Terdapat pegawai kanan dalam jabatan pertahanan dan golongan politik yang bertanggungjawab terhadap mereka yang menentang operasi alat kelui, serta penghapusan Nasrallah (pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah).
“Sebelum operasi alat kelui, mereka memberitahu saya bahawa AS akan menentangnya, tetapi saya tidak mendengar mereka,” kata Netanyahu semasa mesyuarat Kabinet, kelmarin.
Ini adalah kali pertama seorang pegawai tinggi Israel secara terbuka mengaku bertanggungjawab terhadap letupan besar peranti komunikasi tanpa wayar di Lubnan.
Susulan letupan itu, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di Lubnan, terutama terhadap sasaran yang didakwa kubu Hezbollah, sejak akhir September lalu.
Serangan berterusan itu menyebabkan Nasrallah dan beberapa pemimpin Hezbollah terbunuh di selatan Beirut pada 27 September.
Sehingga kini, lebih 3,100 orang terbunuh dan 13,800 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Semalam, Menteri Pertahanan, Israel Katz mendakwa Israel sudah mengalahkan Hezbollah dan kematian Nasrallah adalah pencapaian terbaik rejim Zionis.
“Sekarang menjadi tugas kami untuk terus memberi tekanan yang membuahkan hasil daripada kemenangan itu,” kata Katz semasa majlis di kementerian luar Israel.
Katz berkata, Israel tidak berminat untuk campur tangan dalam hal politik dalaman Lubnan tetapi berharap pakatan antarabangsa memanfaatkan peluang itu dan Beirut akan menyertai negara lain menormalisasikan hubungan dengan Israel.-REUTERS










