BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membincangkan mengenai ancaman Iran dalam panggilan telefon dengan bakal Presiden ke-47 AS, Donald Trump di tengah-tengah ketegangan perang di Gaza dan Lubnan yang terus berlarutan.
Dalam satu kenyataan, pejabat Netanyahu berkata, pemimpin Israel itu mengucapkan tahniah kepada Trump atas kemenangannya dalam pilihan raya dan kedua-duanya bersetuju untuk bekerjasama demi keselamatan Israel.
“Mereka turut berbincang mengenai ancaman Iran,” tambah kenyataan tersebut.
Hezbollah yang disokong Iran menyatakan, puluhan ribu pejuangnya bersedia untuk berperang dengan Israel, sambil menegaskan keputusan pilihan raya AS tidak akan memberi kesan kepada perang di Lubnan.
Ketua Hezbollah memberi amaran tiada tempat di Israel yang akan terlepas daripada serangan, manakala tentera Israel melaporkan kira-kira 120 peluru telah dilancarkan melintasi sempadan semalam.
Tentera Israel juga melaporkan peluru berpandu yang dilancarkan ke selatan Israel dari Gaza, di mana mereka berdepan dengan kumpulan Hamas yang disokong Teheran sejak serangan pada 7 Oktober lalu.
Israel dan Hezbollah berperang sejak akhir September, apabila tentera Israel memperluas operasi di Gaza untuk mempertahankan sempadan utaranya dengan Lubnan.
Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober, usaha untuk mengakhiri konflik di Gaza belum membuahkan hasil.
Di Lubnan, perang telah meragut sekurang-kurangnya 3,050 nyawa sejak Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan pada Rabu.
Menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza, serangan Hamas pada 7 Oktober mengorbankan 1,206 nyawa manakala tindakan balas Israel pula mengorbankan 43,391 orang di Gaza.










