Dron Israel sengaja sasar kanak-kanak cedera

Dron Israel sengaja sasar kanak-kanak cedera

DUA kanak-kanak Palestin dirawat di Hospital Al-Aqsa selepas cedera akibat pengeboman Israel di Deir el-Balah, tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang pesara pakar bedah yang berkhidmat sebagai sukarelawan di sebuah hospital di Gaza mendedahkan dron Israel sering menyasarkan kanak-kanak yang cedera selepas pengeboman.

Prof. Nizam Mamode dari Brockenhurst, Hampshire, berkhidmat sebagai sukarelawan di Hospital Nasser selama sebulan pada Ogos dan September lalu.

Ketika memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa Parlimen, beliau tidak dapat menahan emosi apabila menceritakan pengalaman kanak-kanak yang ditembak oleh dron quadcopter.

“Insiden yang sangat mengganggu saya apabila bom akan dijatuhkan di kawasan khemah yang padat penduduk dan kemudian dron akan turun.

“Dron itu akan turun dan menyerang orang awam terutamanya kanak-kanak,” katanya kepada Ahli Parlimen.

Wajah Prof. Nizam bergetar menahan emosi ketika beliau berhenti beberapa saat untuk menenangkan diri.

“Kami diberitahu oleh kanak-kanak ini, mereka terbaring cedera selepas bom dijatuhkan dan quadcopter pula turun dan membedil mereka.

“Itu jelas satu tindakan yang disengajakan dan berterusan menyasarkan orang awam hari demi hari,” katanya.

Bekas ketua klinikal pembedahan pemindahan organ di Guy’s and St Thomas NHS Foundation Trust di London berkata, kejadian itu adalah kisah yang sangat konsisten.

“Peluru yang ditembak dron adalah pelet kuboid kecil dan saya mengeluarkan beberapa daripadanya dari perut kanak-kanak, ada yang seawal usia tiga tahun.

“Dengan peluru dron, saya dapati ia masuk dan melantun ke dalam tubuh, menyebabkan pelbagai kecederaan. 

“Saya merawat seorang budak lelaki berumur tujuh tahun. Dia mengalami kecederaan pada hati, limpa, usus dan arteri. Bagaimanapun, dia berjaya bertahan dan keluar hospital seminggu kemudian,” katanya.

Ahli Parlimen Parti Buruh, Sarah Champion, yang mengetuai jawatankuasa tersebut berkata, keterangan Prof. Nizam adalah mendalam dan sangat mengerikan.

Dalam kenyataan selepas sesi pendengaran, beliau menegaskan United Kingdom (UK) perlu mengambil serius pelanggaran undang-undang kemanusiaan di Gaza.

“Jawatankuasa akan melakukan apa yang termampu untuk bertindak berdasarkan keterangan luar biasa Prof Mamode dan memastikan pengalaman beliau didengar dengan jelas,” katanya.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×