Doktor Hospital Al-Awda makin tertekan, tak mampu tampung jumlah pesakit

Doktor Hospital Al-Awda makin tertekan, tak mampu tampung jumlah pesakit

RIZAB Persekutuan AS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hospital Al-Awda di utara Gaza memberi amaran sedang berdepan kesukaran merawat puluhan pesakit yang cedera dalam keadaan yang amat mencabar.

Hospital tersebut mengaitkan masalah itu dengan kekurangan bekalan perubatan yang teruk dan serangan berterusan oleh Israel di wilayah berkenaan selama lebih sebulan.

Pengarah Hospital Al-Awda, Mohammad Saleha memberitahu Anadolu, pihak hospital telah menghadapi kekurangan kritikal ubat-ubatan dan bekalan perubatan selama lebih tiga bulan, diburukkan lagi dengan kekurangan bekalan bahan api yang menjejaskan operasi hospital tersebut selama sebulan.

Menurutnya, generator kecil hospital yang digunakan untuk sokongan operasi minimum telah rosak akibat kekurangan bahan api.

“Kami terpaksa menggunakan generator utama yang memerlukan lebih banyak bahan api, namun ini adalah langkah perlu untuk menjalankan empat pembedahan ke atas pesakit yang cedera parah,” katanya.

Tambah Mohammad, hospital itu menerima beberapa pesakit yang meninggal dunia dan puluhan yang cedera sejak pagi, termasuk kes kritikal selepas perkhidmatan ambulans di kawasan tersebut terhenti.

Mengenai pembedahan dalam situasi semasa, beliau menjelaskan satu-satunya pakar bedah di Gaza utara telah menjalankan dua pembedahan sejak pagi dan masih perlu menangani beberapa kes kritikal lagi.

Beliau merayu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar segera menghantar bahan api, ubat-ubatan, bekalan perubatan, serta makanan untuk pesakit dan petugas.

“Bantuan ini adalah sangat penting untuk memastikan perkhidmatan kesihatan di Gaza utara terus berjalan di tengah-tengah kekejaman perang genosid ini,” katanya.

Hampir 43,400 orang telah terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dengan lebih 102,340 lagi cedera menurut pihak berkuasa tempatan.

Serangan oleh Israel menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah tersebut dipindahkan dan hidup di bawah sekatan yang berpanjangan dengan kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN