ABUJA: Seramai 29 remaja berkemungkinan menghadapi hukuman mati di Nigeria selepas didakwa pada Jumaat kerana menyertai protes terhadap krisis kos sara hidup yang tinggi di negara tersebut.
Empat daripada mereka pengsan di mahkamah akibat keletihan sebelum sempat mengemukakan pengakuan.
Sebanyak 76 penunjuk perasaan didakwa dengan 10 pertuduhan jenayah, termasuk pengkhianatan, pemusnahan harta benda, gangguan awam, dan pemberontakan, menurut senarai pertuduhan yang dilihat oleh The Associated Press.
Mengikut senarai pertuduhan tersebut, mereka yang terlibat berumur antara 14 hingga 17 tahun.
Menurut peguam, Marshal Abubakar, mahkamah akhirnya memberikan jaminan sebanyak AS$5,900 (RM25,809) kepada setiap defendan dan mengenakan syarat ketat yang masih belum dipenuhi.
“Negara yang mempunyai tanggungjawab untuk mendidik generasi mudaya kini memutuskan untuk menghukum mereka. Remaja ini telah ditahan selama 90 hari tanpa makanan,” katanya.
Walaupun merupakan satu daripada pengeluar minyak mentah terkemuka di Afrika, Nigeria kekal sebagai antara negara termiskin di dunia.
Dengan populasi lebih 210 juta orang yang terbesar di benua Afrika, Nigeria merupakan antara negara yang paling lapar di dunia dan pemerintahnya bergelut untuk mencipta peluang pekerjaan.
Kadar inflasi kini berada pada paras tertinggi dalam 28 tahun dan mata wang naira tempatan berada pada paras terendah berbanding dolar.
Pada Khamis, Nigeria diklasifikasikan sebagai ‘titik tumpuan dengan kebimbangan yang sangat tinggi’ dalam laporan agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana jumlah besar penduduk menghadapi atau dijangka menghadapi tahap kritikal ketidakamanan makanan di negara Afrika Barat itu.










