Utusan AS bertemu Putin runding perang Ukraine

Utusan AS bertemu Putin runding perang Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mengadakan rundingan dengan utusan Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan Jared Kushner di Moscow ketika Washington memperbaharui usaha untuk menamatkan perang di Ukraine yang berlarutan lebih empat tahun.

Witkoff dan Kushner tiba di Lapangan Terbang Vnukovo, Moscow pada awal Sabtu dan disambut utusan presiden Russia, Kirill Dmitriev.

“Rakan-rakan yang dihormati, saya mengalu-alukan kedatangan anda ke Moscow. Situasi ini sememangnya tidak mudah. 

“Namun, sebelum kita mula menanganinya, saya ingin meminta semua pihak menyampaikan salam dan ucapan terima kasih saya kepada Presiden AS, Trump,” kata Putin kepada kedua-dua utusan itu dalam rakaman yang disiarkan televisyen Russia.

Witkoff berterima kasih kepada Putin kerana bersetuju dengan gencatan senjata selama tiga hari bermula Sabtu sempena lawatan kedua-dua utusan itu ke Moscow dan Kyiv.

Pertemuan itu turut disertai pembantu kanan presiden, Yury Ushakov dan Dmitriev.

Selepas pertemuan itu, pembantu kanan presiden, Yury Ushakov menyifatkan rundingan berkenaan sebagai bermakna, membina dan sangat berterus terang, sambil berkata, utusan AS mengemukakan senarai idea mengenai kemungkinan cara menyelesaikan konflik tersebut.

Menurut kenyataan yang dilaporkan agensi berita kerajaan TASS, perbincangan itu bukan sahaja tertumpu kepada Ukraine, malah turut menyentuh potensi projek ekonomi berskala besar antara Russia dan AS.

Putin mengulangi kesediaan Russia untuk terus bekerjasama dengan Washington bagi mencari penyelesaian politik dan diplomatik terhadap perang itu, sambil menegaskan keperluan menangani punca utama konflik.

Beliau turut menyentuh kejayaan tentera Russia dan menyatakan keyakinan negara itu akan mencapai objektifnya dalam perang berkenaan.

Kremlin tidak mendedahkan butiran cadangan yang dikemukakan Witkoff dan Kushner atau menyatakan sama ada rundingan itu menghasilkan sebarang persetujuan konkrit.

Selepas rundingan, Dmitriev mengiringi Witkoff dan Kushner ke Lapangan Terbang Vnukovo sebelum mereka berlepas ke Kyiv untuk mengadakan rundingan dengan pegawai Ukraine.

Ia sekali gus menjadi kali pertama Witkoff dan Kushner mengunjungi ibu negara Ukraine itu sejak Trump kembali memegang jawatan tahun lalu dengan ikrar untuk menyelesaikan konflik berkenaan.

Trump berkata, kedua-dua utusan itu akan cuba menentukan sama ada kemajuan ke arah perdamaian boleh dicapai.

“Saya menghantar Witkoff dan Kushner, dua perunding yang hebat. Mereka melakukan tugas yang sangat baik dan kami menghantar mereka untuk melihat sama ada kami boleh mencapai sesuatu dan mungkin ada peluang yang baik untuk kami melakukannya,” kata Trump.

Trump tidak menjelaskan sama ada cadangan itu melibatkan Ukraine menyerahkan wilayah, idea yang pernah dicadangkannya sebelum ini, namun beliau berkata pihaknya mempunyai satu idea untuk perdamaian.

Usaha diplomatik yang diperbaharui itu berlangsung ketika Russia dan Ukraine terus bertukar-tukar serangan peluru berpandu jarak jauh dan dron, menyebabkan jumlah korban awam meningkat.

Beberapa jam sebelum Trump mengumumkan lawatan utusan itu pada Jumaat, sebuah dron Russia menyerang ibu pejabat perkhidmatan keselamatan Ukraine, (SBU) di tengah Kyiv.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, serangan itu menyasarkan pejabat ketua sementara agensi berkenaan dan merupakan serangan pertama terhadap ibu pejabat SBU sejak Russia melancarkan serangan besar-besaran ke atas negara itu.

Usaha damai untuk menamatkan perang yang bermula pada 2022 itu terhenti sebahagiannya selepas Washington mengalihkan tumpuan kepada perang dengan Iran pada Februari 2026.

Antara isu utama yang masih menjadi pertikaian ialah soal wilayah, jaminan keselamatan untuk Ukraine serta hubungan masa depan Kyiv dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×