GILGIT: Sekurang-kurangnya 14 orang maut selepas sebuah bas yang membawa rombongan pengantin terjunam ke dalam sungai di utara Pakistan.
Bas itu dilaporkan terjunam ke dalam Sungai Indus semasa dalam perjalanan ke bandar Chakwal di wilayah Punjab.
Pegawai Penyelamat Gilgit-Balistan, Wazir Asad Ali berkata, terdapat 25 orang dalam bas berkenaan.
Setakat ini, 14 mayat sudah ditemui sementara 10 lagi masih hilang namun pengantin perempuan dilaporkan terselamat dalam kemalangan ngeri itu.
“Pengantin perempuan berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di sebuah hospital di Gilgit,” katanya.
Pegawai Polis Gilgit-Balistan, Naik Alam berkata, pemandu bas berkenaan dipercayai memandu laju sebelum hilang kawalan di satu selekoh.
Rombongan keluarga pengantin lelaki yang berasal dari Punjab dilaporkan terpaksa menempuh perjalanan sejauh 500 kilometer untuk ke majlis perkahwinan terbabit sebelum berlaku kemalangan ketika dalam perjalanan pulang.-AFP










