GAZA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan terputus hubungan dengan kakitangan Hospital Kamal Adwan di utara Gaza susulan serangan udara dan tembakan tentera Israel di kemudahan itu.
Beberapa kakitangan perubatan cedera apabila tentera Israel menyerbu pekarangan hospital di Beit Lahia dan melepaskan tembakan meriam yang merosakkan beberapa peralatan kritikal untuk menyelamatkan nyawa.
“Kami telah terputus hubungan dengan kakitangan di sana sejak Jumaat. Perkembangan ini amat membimbangkan memandangkan jumlah pesakit yang dirawat dan penduduk yang berlindung di sana,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di laman X.
Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Maher Shamiya memberitahu CNN, tentera Israel bertindak merobohkan bahagian tembok hospital itu dan mengebom stesen oksigen utamanya, mengakibatkan kematian beberapa kanak-kanak.
Maher berkata, tentera memasuki pekarangan hospital sebanyak dua kali pada pagi Jumaat lalu dan mula memisahkan lelaki daripada wanita.
“Selepas serbuan itu, menjadi sangat mustahil untuk berkomunikasi dengan sesiapa pun.
“Semua yang berada di hospital terkejut dengan kemasukan jentolak dan kereta kebal ke pekarangan hospital.
“Kereta kebal mula menembak di tingkat atas, memecahkan tingkap dan mencipta suasana panik dan ketakutan,” katanya.
Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safia berkata, lebih 150 pesakit dan kakitangan masih terperangkap akibat serbuan itu.
Beliau turut memberi amaran kemudahan itu berkemungkinan bertukar menjadi ‘pusara besar’ apabila seorang pesakit meninggal dunia setiap jam ekoran tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel.
“Daripada menerima bantuan perubatan, kami menerima kunjungan kereta kebal,” katanya.
Kamal Adwan ialah salah satu daripada tiga hospital yang beroperasi secara minima di utara Gaza dan paling hampir dengan aktiviti ketenteraan Israel di Beit Lahiya serta kem pelarian Jabalia.
Walaupun kapasitinya terhad, ia telah menerima kebanyakan mangsa yang cedera daripada pertempuran di sekitarnya.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pasukannya beroperasi di kawasan hospital Kamal Adwan berdasarkan maklumat risikan mengenai kehadiran anggota dan infrastruktur kumpulan pejuang.










