GAZA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terpaksa menghentikan fasa baharu kempen vaksinasi polio di Gaza, selepas Israel memperhebatkan kepungan dan operasi ketenteraan di bahagian utara wilayah itu.
WHO berkata, susulan keganasan dan pengeboman yang semakin meningkat di utara Gaza, fasa ketiga kempen vaksinasi polio terpaksa ditangguhkan.
Kempen vaksinasi ini dilancarkan bulan lalu, selepas seorang bayi di Gaza dilaporkan lumpuh akibat penyakit itu, kes pertama dalam tempoh 25 tahun.
Menurut WHO, 119,279 kanak-kanak di seluruh utara Gaza sepatutnya divaksin.
Tetapi keadaan semasa menyukarkan ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi dan pekerja kesihatan beroperasi.
Unit kemanusiaan tentera Israel, Cogat, mendakwa kempen vaksinasi di utara Gaza akan dimulakan dalam beberapa hari lagi, setelah penilai bersama dan atas permintaan WHO serta Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF).
Tentera Israel memulakan operasi di utara kira-kira tiga minggu lalu dengan matlamat untuk menghalang pejuang Hamas berkumpul dan membina semula keupayaan kumpulannya.
Operasi ini meningkat sejak pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Yahya Sinwar seminggu lalu, walaupun Amerika Syarikat (AS) mengharapkan kematian pemimpin itu boleh menamatkan perang selama setahun di wilayah tersebut.
Minggu lalu, Hamas mengesahkan Yahya terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di selatan Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 650 orang terbunuh sejak serangan baharu bermula di seluruh wilayah, dengan kebanyakannya adalah di utara Gaza.- AGENSI










