BEIRUT: Lubnan melaporkan serangan udara Israel di selatan negara itu semalam, membunuh tiga wartawan dan mencederakan tiga yang lain.
Saluran televisyen Al Mayadeen berkata, seorang jurukamera, Ghassan Najjar dan jurutera penyiarannya, Mohammad Reda terbunuh dalam serangan yang menyasarkan kediaman wartawan di Hasbaya, selatan Lubnan.
Satu lagi saluran TV, Al-Manar dikendalikan oleh Hezbollah berkata, seorang wartawan videonya, Wissam Qassem turut terkorban dalam serangan itu.
“Musuh Israel menunggu waktu rehat malam wartawan untuk mengkianati mereka ketika tidur.
“Ini adalah satu pembunuhan selepas pemantauan dan pengesanan dengan perancangan awal, kerana terdapat 18 wartawan di sana mewakili tujuh institusi media.
“Kekejaman ini juga adalah jenayah perang,” kata Menteri Penerangan, Ziad Makary dalam catatan di X.
Wartawan dari organisasi media lain, termasuk penyiar Lubnan Al-Jadeed, Sky News Arabic dan Al Jazeera English juga sedang berehat berhampiran apabila serangan berlaku semalaman.
Israel bagaimanapun enggan mengulas mengenai serangan di kawasan tempat wartawan berada di luar kubu tradisional Hezbollah itu.
Pengerusi Al-Mayadeen berikrar bahawa rangkaian media itu akan terus melaporkan kebenaran walaupun menghadapi risiko serangan.
“Al-Mayadeen akan terus beroperasi dan tidak akan pernah berundur. Kekejaman ini bukan serangan yang disasarkan terhadap Al-Mayadeen semata-mata tetapi ia adalah pencerobohan terhadap semua kru akhbar,” katanya.











