BAITULMUQADDIS: Israel menyerang pangkalan tentera di Iran, mendakwa menyasarkan kemudahan pembuatan peluru berpandunya sebagai tindakan balas terhadap serangan Teheran awal bulan ini, langkah yang memburukkan lagi konflik di Asia Barat.
Media Iran melaporkan, sekurang-kurangnya enam gelombang letupan selama lebih dua jam menggegarkan ibu negara dan pangkalan ketenteraan berdekatan yang turut mengorbankan dua anggota tentera.
“Letupan yang kedengaran di Teheran mempunyai kaitan dengan sistem pertahanan udara yang bertindak balas terhadap usaha rejim Zionis untuk menyerang tiga lokasi di luar bandar Tehran.
“Tembakan anti-pesawat kedengaran di tengah Teheran,” lapor agensi berita IRNA.
Beberapa pangkalan tentera di barat dan barat daya Teheran menjadi sasaran Israel dan jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran memaklumkan penerbangan di semua laluan dibatalkan sementara sebelum disambung semula pada pukul 9 pagi (waktu tempatan).
Agensi Berita Tasnim melaporkan, letupan kuat bermula sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) tetapi pangkalan Kor Pengawal Revolusi Islam yang diserang tidak rosak dan tiada kebakaran atau letupan berlaku di kilang penapisan minyak utama berhampiran ibu negara..
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Iraq turut dilaporkan menangguhkan penerbangan merentasi semua lapangan terbangnya memetik ketegangan serantau.
Menurut agensi berita Syria SANA, Israel turut menyasarkan beberapa tapak tentera di bahagian tengah dan selatan Syria.
Pasukan pertahanan udara Syria dilaporkan memintas peluru berpandu yang dilancarkan rejim Zionis dari arah Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel serta wilayah Lubnan dan berjaya menembak jatuh beberapa daripadanya.
Pihak berkuasa Iran berulang kali memberi amaran kepada Israel agar tidak melancarkan serangan, menegaskan sebarang provokasi ke atas Teheran akan disambut dengan tindakan balas yang lebih kuat.
Israel berkata, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Yoav Gallant mengikuti operasi itu di pusat perintah dan kawalan tentera di Tel Aviv.
Gallant dilaporkan bercakap dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin sejurus selepas serangan Israel bermula.
“AS telah dimaklumkan oleh Israel sebelum serangannya ke atas sasaran di Iran tetapi Washington tidak terlibat dalam operasi itu,” kata seorang pegawai AS.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, Sean Savett, berkata, serangan balas itu adalah sebagai tindakan mempertahankan diri dan tindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistik Iran menyasarkan Israel pada 1 Oktober lalu.
Katanya dalam kenyataan berasingan, Presiden AS, Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris juga diberi taklimat mengenai serangan terbabit dan akan menerima maklumat terkini daripada pasukan keselamatan negara mereka.










