BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh kumpulan Hezbollah yang disokong Iran cuba membunuhnya selepas dron dari Lubnan dilaporkan mengenai kediaman keluarganya di bandar Caesarea, kira-kira 20 kilometer di selatan Haifa.
Pejabat Netanyahu berkata, tiada kecederaan dilaporkan kerana pemimpin itu dan isterinya tidak berada di rumah ketika kejadian.
Serangan dron yang tidak diakui Hezbollah berlaku ketika tentera Israel memerangi kumpulan Lubnan di darat di selatan Lubnan.
Ia menyusuli beberapa siri pembunuhan pemimpin kumpulan pejuang disokong Iran termasuk ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah dan ketua Hamas, Yahya Sinwar.
“Percubaan proksi Iran, Hezbollah untuk membunuh saya dan isteri saya hari ini adalah satu kesilapan besar.
“Sesiapa yang cuba mencederakan rakyat Israel akan menerima akibat daripada perbuatan itu,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan untuk mencapai semua matlamat perang tetapi menambah, Israel akan mengubah realiti keselamatan di rantau itu untuk generasi akan datang.
Tentera Irael berkata, dua daripada tiga dron yang dilancarkan dari Lubnan telah dipintas.
“Yang ketiga melanggar sebuah bangunan di Caesarea ketika cuba menyasarkan perdana menteri,” kata jurucakap tentera, Daniel Hagari semasa taklimat.-AFP










