Mesir cadang gencatan senjata singkat di Gaza

Mesir cadang gencatan senjata singkat di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Mesir mencadangkan gencatan senjata dua hari di Gaza untuk menukar empat tebusan Israel dengan beberapa tahanan Palestin.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi membuat pengumuman itu ketika rundingan untuk meredakan perang yang dahsyat selama lebih setahun itu disambung semula di Qatar bersama pengarah CIA dan agensi perisikan Mossad Israel.

Bercakap bersama Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune semasa sidang media di Kaherah, Abdel Fattah juga berkata, perbincangan harus disambung semula dalam tempoh 10 hari selepas melaksanakan gencatan senjata sementara dalam usaha mencapai gencatan senjata kekal.

Tiada komen segera daripada Israel atau Hamas tetapi seorang pegawai Palestin yang rapat dengan usaha pengantaraan memberitahu Reuters, Hamas mungkin akan mendengar tawaran baharu itu, tetapi ia tetap bertekad sebarang perjanjian mesti menamatkan perang dan mengeluarkan tentera Israel dari Gaza.

Israel berkata, perang tidak boleh berakhir sehingga Hamas dihapuskan sebagai pasukan tentera dan entiti yang mentadbir di Gaza.

Angka kematian akibat serangan udara dan darat Israel di Gaza kini menghampiri 43,000 nyawa.

Seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan itu memberitahu, rundingan di Doha akan mendapatkan gencatan senjata jangka pendek dan pembebasan beberapa tebusan yang ditahan oleh Hamas sebagai pertukaran untuk membebaskan tahanan Palestin oleh Israel.

Objektifnya, yang masih sukar dimeterai selepas beberapa percubaan pengantaraan, adalah untuk memastikan Israel dan Hamas bersetuju menghentikan pertempuran selama kurang daripada sebulan dengan harapan akan membawa kepada gencatan senjata yang lebih kekal.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, nasib orang awam Palestin di utara Gaza makin tidak tertanggung dan konflik itu dicetuskan tanpa mengambil kira keperluan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×