BEIRUT: Lubnan mengesahkan kes taun pertama sejak 2022 di negara itu selepas bermulanya serangan Israel yang mencetuskan gelombang perpindahan penduduk secara besar-besaran.
Menurut laporan agensi berita Anadolu, kes tersebut melibatkan seorang wanita dari bandar Sammouniyeh di Akkar, utara Lebanon.
Wanita itu dimasukkan ke hospital selepas akibat dehidrasi teruk dan cirit-birit akut.
Kementerian Kesihatan Awam Lubnan mengumumkan terdapat kes disyaki taun di Akkar pada Isnin, yang kemudian disahkan pada Rabu.
Sejak itu, kementerian melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada pencemaran air menjadi punca jangkitan dengan mengambil sampel air untuk diuji.
Pihak berkuasa turut mengumpul sampel daripada individu yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa untuk mengenal pasti jika terdapat kes taun lain.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan ia memulakan program pemantauan epidemiologi dengan mengumpul sampel klinikal dan persekitaran serta menjalankan lawatan lapangan.”
Susulan pengesahan kes pertama, Pelan Taun Kebangsaan diaktifkan dan langkah-langkah pengekangan akan dilaksanakan.
Sebelum ini, Lubnan mengumumkan kes taun pertamanya pada Oktober 2022, selepas kali terakhir direkodkan pada 1993.
Penyakit bawaan air ini, boleh menyebabkan cirit-birit yang mengancam nyawa, terutama kepada kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan, berlarutan selama beberapa bulan sebelum negara itu diisytiharkan bebas taun pada Julai 2023.- AGENSI










