Kebuluran ancam 345,000 penduduk Gaza pada musim sejuk

Kebuluran ancam 345,000 penduduk Gaza pada musim sejuk

KANAK-kanak Palestin berkumpul di sebuah sekolah kerajaan di Rafah, di selatan Gaza untuk mendapatkan makanan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 345,000 penduduk Gaza berdepan ‘bencana kebuluran’ pada musim sejuk kali ini, selepas penghantaran bantuan kemanusiaan di wilayah itu merosot.

Laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mendedahkan jumlah itu meningkat daripada 133,000 oran berbanding sebelum ini.

Menurut laporan, peningkatan bantuan kemanusiaan pada musim panas memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza, tetapi September menyaksikan jumlah terendah bekalan komersial dan kemanusiaan memasuki wilayah itu sejak Mac.

Oleh itu, dijangkakan bilangan orang yang mengalami bencana ketidakjaminan makanan – IPC Fasa 5 – antara November 2024 dan April 2025 mencecah 345,000 atau 16 peratus daripada populasi.

Penurunan mendadak dalam bantuan akan mengehadkan keupayaan dalam menyediakan makanan dan mengakses barangan serta perkhidmatan penting dalam beberapa bulan akan datang, kecuali ia dipulihkan.

“Risiko kebuluran antara November 2024 hingga April 2025 akan berterusan jika konflik berlanjutan dan akses kemanusiaan dihadkan.

“Kepadatan penduduk di kawasan yang semakin mengecil dengan bekalan yang terhad, meningkatkan risiko penularan wabak dan bencana kemanusiaan paling dahsyat,” menurut laporan IPC.

Dianggarkan 60,000 kes kekurangan zat makanan akut dalam kalangan kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga empat tahun dijangka berlaku antara November hingga April.

Sebelum ini, AS memberi tempoh 30 hari kepada Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza jika tidak mahu bantuan ketenteraan disekat.

Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini turut memberi amaran mengenai risiko kebuluran di wilayah perang itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN