Israel gugur risalah rayu bebaskan tebusan di Gaza

Israel gugur risalah rayu bebaskan tebusan di Gaza

PENDUDUK Palestin memeriksa kerosakan di dalam sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di kem pelarian Al-Shati berhampiran Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pesawat Israel dilaporkan menggugurkan risalah di selatan Gaza menunjukkan gambar pemimpin kumpulan pejuang Palestin yang maut, Yahya Sinwar bersama mesej ‘Hamas tidak akan memerintah Gaza lagi’.

Tindakan itu dibuat ketika serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 108 orang di seluruh Semenanjung Gaza semalam.

“Sesiapa yang menjatuhkan senjata dan menyerahkan tebusan akan dibenarkan pergi dan hidup dengan aman,” jelas risalah yang ditulis dalam bahasa Arab itu.

Menurut penduduk di bandar selatan Khan Younis dan imej yang beredar dalam talian, risalah itu disebarkan selepas Yahya dibunuh oleh tentera Israel di Rafah berhampiran sempadan Mesir.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 73 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel di beberapa rumah di bandar Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza.

Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Gaza, Medhat Abbas berkata, berpuluh-puluh orang turut cedera dan hilang dalam serangan kejam yang dilakukan selepas Israel memotong perkhidmatan telekomunikasi dan Internet. 

Penduduk berkata, tentera Israel mengetatkan kepungan mereka di kem pelarian terbesar di Jabalia, malah turut menghantar kereta kebal ke bandar berdekatan Beit Hanoun dan Beit Lahiya.

Tentera rejim juga dilaporkan mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk yang didakwa bertujuan untuk memisahkan pejuang Hamas daripada orang awam.

Pegawai Israel menafikan terdapat sebarang rancangan sistematik untuk menghalau orang awam daripada Jabalia atau kawasan utara lain.

Di Jabalia, penduduk berkata, tentera Israel mengepung beberapa tempat perlindungan yang menempatkan keluarga pelarian sebelum menyerbu dan menahan berpuluh-puluh lelaki. 

Rakaman di media sosial menunjukkan berpuluh-puluh lelaki Palestin duduk di atas tanah di sebelah kereta kebal, manakala beberapa yang lain diarah oleh tentera Israel untuk berkumpul di kawasan berhampiran.

Penduduk berkata, tentera Israel turut mengepung hospital dan menghalang bekalan perubatan serta makanan masuk untuk memaksa mereka meninggalkan kem tersebut.

Pegawai kesihatan berkata, mereka menolak arahan tentera Israel untuk mengosongkan hospital atau meninggalkan pesakit yang kebanyakannya dalam keadaan kritikal, tanpa pengawasan.

“Hospital di utara Gaza mengalami kekurangan bekalan perubatan dan tenaga kerja untuk membantu jumlah korban yang semakin meningkat.

“Kami kini cuba memutuskan siapa di antara mereka yang cedera perlu kami uruskan dahulu namun ada beberapa mangsa sudah meninggalkan dunia kerana kami tidak sempat membantu mereka,” kata seorang doktor, Hussam Abu Safiya.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN