Israel dedah rakaman dron dakwa detik terakhir Yahya Sinwar

Israel dedah rakaman dron dakwa detik terakhir Yahya Sinwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dikesan oleh sebuah dron mini Israel ketika beliau dalam keadaan nazak sebelum dibunuh di runtuhan sebuah bangunan berhampiran selatan Gaza, menurut rakaman video yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel.

Rakaman video tersebut menunjukkan lelaki didakwa Yahya duduk di atas sebuah kerusi, mukanya berbalut dengan debu dan sempat melemparkan sebatang kayu ke arah dron tersebut untuk menghalaunya.

Perkhidmatan risikan Israel secara berperingkat mengecilkan kawasan operasi Yahya dan pengesahan terakhir mengenai kematiannya diperoleh melalui rekod gigi, cap jari dan ujian DNA.

Berbeza dengan operasi khas yang menyasarkan pemimpin lain seperti komander tentera Hamas, Mohammed Deif, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 13 Julai, operasi menyebabkan kematian Yahya bukanlah serangan terancang.

Beliau ditemukan oleh tentera infantri dari Briged Bislach, ketika mereka menjalankan pencarian di kawasan Tal El Sultan, di selatan Gaza.

Pada Khamis, tentera Israel mengeluarkan rakaman dari dron yang menunjukkan Yahya cedera di tangan dan duduk di atas kerusi dengan wajahnya ditutup selendang keffiyeh.

Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun sumber dalaman kumpulan itu menyatakan petunjuk diterima mereka menunjukkan Yahya terbunuh oleh serangan tentera Israel.

Tentera Israel berkata, pasukannya melihat tiga individu disyaki pejuang bergerak di antara bangunan dan melepaskan tembakan, yang membawa kepada pertempuran di mana Yahya melarikan diri ke dalam bangunan yang musnah.

Menurut akaun media Israel, peluru kereta kebal dan peluru berpandu turut dilepaskan ke arah bangunan itu.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, tentera yang masuk ke dalam runtuhan bangunan itu menemukannya bersama senjata, jaket dan wang 40,000 shekel (RM46,183).

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Perkhidmatan Keselamatan Israel (ISA) sejak beberapa minggu lalu di kawasan terakhir Yahya, menyekat pergerakan operasi beliau sehingga membawa kepada kematiannya.

Yahya yang merupakan dalang utama serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, dikatakan berhenti menggunakan telefon atau peralatan komunikasi lain bagi menghalang perkhidmatan risikan rejim mengesannya.

Pegawai Israel mendakwa beliau menggunakan sebahagian daripada 101 tebusan Israel dan warga asing yang masih ditahan di Gaza sebagai perisai manusia untuk melindungi diri namun, tiada tebusan ditemui berhampiran lokasi beliau ditemukan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN