TEHERAN: Iran menegaskan pihaknya berhak untuk mempertahankan diri, selepas serangan balas Israel pagi ini mengenai sasaran ketenteraan dan membunuh dua anggota tentera republik itu.
Pesawat Israel dilaporkan menyerang pangkalan tentera, tapak peluru berpandu dan sistem lain di beberapa wilayah.
Iran berkata dua askarnya maut dalam serangan itu.
“Iran mempunyai hak dan kewajipan untuk mempertahankan diri daripada tindakan pencerobohan asing,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan, memetik Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kerajaan Arab Saudi, Syria, Jordan dan Pakistan antara negara yang mengecam tindakan Israel menyasarkan Iran, yang merupakan pencabulan kedaulatan dan pelanggaran undang-undang serta norma antarabangsa.
Iraq turut mengecam ketiadaan tindakan global terhadap Israel yang dilihat cuba meluaskan lagi konflik di Asia Barat.
“Entiti Zionis yang menduduki meneruskan dasar agresifnya dan meluaskan konflik di rantau ini melalui serangan terang-terangan yang ia lakukan sewenang-wenangnya, termasuk terhadap sasaran Iran,” kata jurucakap kerajaan, Basim Alawadi dalam satu kenyataan yang mengecam ‘kebisuan masyarakat antarabangsa terhadap tindakan Israel.-AFP










