Generasi muda Gaza umpama ‘mayat hidup’, ramai alami PTSD

Generasi muda Gaza umpama ‘mayat hidup’, ramai alami PTSD

SEORANG kanak-kanak lelaki Palestin berehat di atas bekas air di kawasan jalan yang dipenuhi runtuhan bangunan di kejiranan Shujaiya di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Korban psikologi ke atas penduduk Gaza terutamanya kanak-kanak kini mencapai tahap yang amat membimbangkan, sekali gus memburukkan lagi  cabaran sedia ada yang sudah dilalui penduduk Palestin sebelum 7 Oktober tahun lalu.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Kesihatan, Tlaleng Mofokeng berkata, Gaza kini mempunyai seluruh generasi kanak-kanak yang sudah seakan ‘mayat hidup’ sebelum mereka mempunyai sijil kelahiran. 

KRISIS PSIKOLOGI TERBURUK

Bercakap kepada Anadolu mengenai krisis kesihatan mental di Gaza, Mofokeng menjelaskan, keganasan berterusan mewujudkan kitaran ketakutan dan trauma yang teruk dalam kalangan penduduk wilayah terkepung itu.

“Jumlah kebimbangan dan pendedahan kepada trauma serta tahap jangkaan keganasan adalah sangat tidak normal. Keadaan ini menyebabkan jiwa golongan muda sangat terkesan dan hampir lumpuh,” katanya.

Beliau menekankan bahawa 50 peratus rakyat Gaza sudah pun dihimpit gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) sebelum keganasan berterusan yang mereka alami sejak 7 Oktober. 2023.

“Kita perlu bercakap mengenainya sebagai akibat trauma mental yang disengajakan. Kesan psikologi jelas ditunjukkan seperti kebimbangan, mimpi buruk, kemurungan, dan kehilangan ingatan ditambah pula dengan ketiadaan sumber kesihatan mental yang mencukupi.

“Namun, beberapa parut kekal tidak kelihatan kerana ramai menderita dalam diam dan akhirnya membawa kepada masalah kesihatan mental yang kompleks,” katanya.

Katanya, krisis kesihatan mental juga sangat ketara dalam kalangan kanak-kanak yang kehilangan seluruh ahli keluarga mereka dan menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan belia Gaza. 

.Beliau menjelaskan, ketiadaan acara berkabung atau pengebumian yang bermaruah bukan sahaja merampas peluang keluarga dan komuniti untuk sembuh, malah menoreh luka yang mungkin mengambil masa seumur hidup untuk kembali sembuh.

“Ketiadaan penjagaan kesihatan dan terapi memburukkan lagi keadaan, menjadikan mereka lebih teruk. Generasi masa depan Gaza sudah lumpuh, tidak dapat dipulihkan dan berubah selama-lamanya.

“Mereka yang bertahan menghadapi cabaran kesihatan mental berterusan daripada keganasan, ketakutan dan kehilangan berterusan akan menghalang keupayaan mereka untuk berfungsi sebagai orang dewasa,” katanya.

PAKAR TURUT TRAUMA

Pelapor khas itu menyifatkan kemusnahan besar penempatan, kemudahan penjagaan kesihatan, serta akses terhad kepada perkhidmatan penting, sebagai sebahagian daripada strategi yang direka untuk memastikan penduduk Gaza berada dalam keadaan ketakutan dan ketidakpastian yang berterusan.

“Ia adalah keganasan psikologi, dan ia sengaja dicipta untuk merealisasikan rancangan pembunuhan beramai-ramai Israel,” kata Mofokeng. 

Sambil menggesa tindakan segera, beliau menekankan perlunya gencatan senjata untuk memudahkan sebarang bentuk pemulihan. 

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris berkata, sejak 2020, hampir 200,000 orang dewasa di Gaza sudah pun bergelut dengan gangguan kesihatan mental yang sederhana hingga teruk, manakala lebih 300,000 kanak-kanak juga menghadapi masalah sedemikian pada tahap yang berbeza-beza. 

Dengan keganasan yang berterusan, jumlah tersebut semakin melonjak, dan Harris memberi amaran tentang gangguan rawatan untuk hampir setengah juta orang.

“Kadar bunuh diri juga telah meningkat di Gaza. Lelaki muda berusia 18 hingga 30 tahun membentuk 75 peratus daripada kes ini. 

“Bunuh diri adalah satu cara untuk memahami tahap keterukan gangguan dan keperluan mendesak terhadap kesihatan mental,” jelasnya.

Tambah beliau, kemusnahan satu-satunya hospital psikiatri Gaza akibat serangan udara Israel  memburukkan lagi krisis.

“Pesakit bukan sahaja dibiarkan tanpa rawatan kritikal, malah mereka semua baru sahaja dibenarkan keluar,” kata Harris.

Dengan hanya enam pusat kesihatan mental masyarakat masih beroperasi dalam keadaan sangat daif, pekerja penjagaan kesihatan juga hanya mampu menyediakan pertolongan cemas psikologi yang terhad. 

Walau bagaimanapun, katanya, ramai profesional penjagaan kesihatan turut bergelut dengan trauma mereka sendiri, kehilangan ahli keluarga atau menyaksikan keganasan yang melampau. 

“Ia seperti menghentikan pendarahan yang disebabkan oleh tekanan, penderitaan dan kesedihan, menekankan keperluan mendesak untuk perkhidmatan dan ubat-ubatan khusus.

“Kakitangan barisan hadapan juga menderita dan menghadapi cabaran kesihatan mental yang luar biasa kerana konflik itu. Walaupun usaha terbaik mereka, para profesional ini sangat terjejas oleh tekanan sama yang cuba mereka hilangkan pada pesakit.

“Bilangan profesional kesihatan mental di Gaza kekal tidak pasti disebabkan konflik berterusan, perpindahan dan kematian. Kami tidak tahu siapa yang bekerja, siapa yang tidak bekerja, siapa yang masih hidup mahupun siapa yang sudah mati,” kata Harris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×