DOHA: Amerika Syarikat (AS) dan Israel dijangka bertemu di Doha dalam beberapa hari akan datang bagi memulakan semula rundingan mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, menurut pegawai pada Khamis.
Qatar dan Mesir sebelum ini menjadi perantara antara Israel dan Hamas dalam rundingan yang berlarutan selama beberapa bulan namun gagal mencapai kesepakatan untuk menamatkan konflik yang bermula selepas serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober lalu.
Ketua agensi perisikan Israel, Mossad, David Barnea, akan ke Doha pada Ahad ini, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu manakala Pengarah CIA, William Burns, turut dijadualkan hadir untuk rundingan tersebut.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, melawatAsia Barat minggu ini dalam usaha menghidupkan semula rundingan tersebut selepas kematian pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, yang didakwa Washington merupakan penghalang utama kepada perjanjian tersebut.
“Kami berbincang mengenai pilihan untuk memanfaatkan peluang ini dan langkah seterusnya untuk memajukan proses tersebut,” kata Blinken kepada pemberita selepas pertemuan dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani.
Blinken berkata, masih belum dapat dipastikan sama ada Hamas bersedia untuk terlibat dalam rundingan baharu, namun beliau mendesak kumpulan itu untuk berbuat demikian.
“Dalam usaha untuk kembali ke meja rundingan mengenai gencatan senjata dan tebusan, salah satu perkara yang sedang kami pertimbangkan adalah melihat sama ada terdapat pilihan berbeza yang boleh diambil untuk mencapai penyelesaian,” katanya.
Selepas membunuh Sinwar minggu lalu, Israel terus menjalankan operasi intensif di utara Gaza, yang dibimbangi oleh penduduk Palestin dan agensi-agensi PBB sebagai usaha untuk mengasingkan utara daripada seluruh wilayah Gaza.
Hamas masih belum menamakan pengganti Sinwar, yang dilantik sebagai pemimpin selepas Israel membunuh ketua terdahulu, Ismail Haniyeh, pada bulan Julai lalu.
Mesir juga terlibat secara berasingan dalam rundingan dengan Hamas, kata Sheikh Mohammed, dan beliau berharap perbincangan itu akan menghasilkan sesuatu yang positif. -REUTERS










