QUETTA: Seramai 20 pelombong maut dan tujuh lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang kawasan penginapan di Balochistan, barat daya Pakistan, lewat malam tadi.
Pegawai polis, Hamayun Khan Nasir berkata, para penyerang menyerbu kawasan tempat tinggal pelombong di daerah Duki sebelum mengumpulkan mangsa dan melepaskan tembakan.
Kebanyakan mangsa berasal daripada kawasan berbahasa Pashtun di Balochistan, manakala tiga yang terkorban serta empat yang cedera merupakan warga Afghanistan.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Wilayah Balochistan sering menjadi sasaran kumpulan pemisah yang menuntut kemerdekaan di mana mereka mendakwa kerajaan pusat di Islamabad mengeksploitasi sumber minyak dan mineral yang kaya di wilayah itu tanpa memberi faedah yang setimpal kepada penduduk tempatan.
Isnin lalu, Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ke atas warga China berhampiran lapangan terbang terbesar Pakistan.
Terdapat ribuan warga China bekerja di negara itu, kebanyakannya terlibat dalam inisiatif Jalan Sutera Baharu yang bernilai berbilion-bilion dolar yang dipelopori Beijing.
Letupan yang didakwa BLA sebagai serangan bunuh diri itu turut menimbulkan keraguan terhadap keupayaan pasukan keselamatan Pakistan untuk melindungi acara berprofil tinggi dan warga asing di negara tersebut.
Islamabad dijadualkan menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) minggu depan, sebuah kumpulan yang diasaskan oleh China dan Russia bagi menyaingi pakatan Barat. -AGENSI










