Konflik Israel-Hezbollah hampiri fasa perang besar - Utusan Malaysia

Konflik Israel-Hezbollah hampiri fasa perang besar

KEPULAN asap kelihatan di tapak serangan udara Israel di pinggir perkampungan Zawtar, selatan Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pertempuran rentas sempadan antara Israel dan kumpulan Hezbollah dilihat semakin hampir memasuki fasa peperangan besar, selepas kedua-dua pihak semakin giat berbalas serangan.

Tentera Israel melakukan puluhan serangan udara di selatan Lubnan sejak kelmarin, yang menyasarkan hutan dan lembah kira-kira 30 kilometer dari sempadan, sekali gus meningkatkan konflik ke tahap yang baharu.

Menurut agensi Anadolu, sebanyak 70 serangan udara dilancarkan di kawasan selatan dan barat Bekaa dalam tempoh satu jam pada Sabtu, dengan sasaran meliputi Zawtar, Deir Seryan, Qotrani, Rihan Heights, Mahmoudiyeh, Sungai Litani di pinggir Khardali, Mays Al-Jabat dan Wadi Al-Numairiyeh.

Susulan tindakan itu, Israel mengehadkan perhimpunan di bandar Haifa dan kawasan utara lain, ketika pasukannya giat menyerang sasaran yang didakwa kubu Hezbollah.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Laksamana Muda Daniel Hagari mendakwa, puluhan jet pejuang mula melakukan serangan besar-besaran di selatan Lubnan, berikutan ancaman Hezbollah untuk melepaskan tembakan ke arah wilayah Israel.

Sementara itu, Hezbollah menegaskan pasukannya melancarkan puluhan roket di Pangkalan Udara Ramat David Israel, timur Haifa sebagai tindak balas kepada siri serangan yang membunuh orang awam di Lubnan.

Dalam kenyataannya, Hezbollah berkata, serangan itu menggunakan roket yang dikenali sebagai Fadi 1 dan Fadi 2, bukannya roket Katyusha buatan Soviet dari era Perang Dunia Kedua, yang digunakan kumpulan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kematian atau kesan lain akibat serangan itu semalam.

Berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan konflik itu menjadi perang berskala besar, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat perjalanan baharu kepada warganya yang berada di Lubnan.

Kedutaan AS di Beirut menggesa rakyatnya untuk meninggalkan Lubnan selagi pilihan komersial masih ada kerana perkhidmatan penerbangan kini beroperasi pada ‘kapasiti terhad’.

Kementerian Luar Jordan juga mengeluarkan nasihat sama kepada rakyatnya, menggesa mereka yang berada di Lubnan untuk meninggalkan negara itu secepat mungkin.

RENTETAN SIRI SERANGAN

Peningkatan ketegangan di rantau itu rentetan daripada siri serangan yang berlaku di Lubnan sejak minggu lalu, dipercayai didalangi oleh Israel.

Awal minggu lepas, 39 terbunuh dan ribuan yang lain cedera selepas peranti komunikasi yang digunakan Hezbollah meletup untuk dua hari berturut-turut di seluruh Lubnan.

Korban jiwa di Lubnan terus meningkat apabila serangan udara terbaharu di Beirut pada Jumaat, membunuh sekurang-kurang45 nyawa, termasuk tiga kanak-kanak dan komander kanan Hezbollah.

Hezbollah mengesahkan 16 anggota pejuang termasuk pemimpin kanan, Ibrahim Aqil dan komandernya, Ahmed Wahbi antara yang terkorban dalam serangan itu dengan jumlah yang cedera turut meningkat lebih 3,000 orang.

Pertempuran rentas sempadan antara Israel dan Hezbollah semakin memuncak pada 8 Oktober 2023, susulan peperangan Israel di Gaza sehari sebelumnya.

Dengan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh di Lubnan minggu ini, angka korban di negara itu sejak Oktober melepasi 740 orang, pertempuran paling teruk antara Israel-Hezbollah sejak perang 2006.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×