JAKARTA: Polis Indonesia berjaya menahan seorang penjenayah paling dikehendaki di Thailand yang melarikan diri dari tahanan tahun lepas, lapor pegawai kanan polis.
Ketua Agensi Siasatan Jenayah Indonesia, Wahyu Widada berkata, Chaowalit Thongduang, 37, ditahan di pulau peranginan Bali pada Khamis lalu.
“Chaowalit adalah antara buruan yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Thailand kerana melakukan banyak jenayah sebelum melarikan diri ke Indonesia untuk bersembunyi.
“Dia memasuki Indonesia pada Disember 2023 selepas perjalanan selama 17 jam dengan bot laju,” katanya.
Menurut, Setiausaha Agung Lembaga Kawalan Narkotik Thailand, Phanurat Lukboon, Chaowalit yang juga dikenali dengan nama panggilan Pang Na Node dikehendaki atas pelbagai pertuduhan termasuk pembunuhan dan kesalahan berkaitan dadah.
Tambahnya, polis merampas beberapa bukti, termasuk kad pengenalan palsu, sijil kelahiran atas nama Sulaiman yang didakwa digunakan oleh Chaowalit serta buku akaun bank Indonesia.
Phanurat mengucapkan terima kasih kepada Indonesia kerana menahan Chaowalit, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Thailand sedang menyiasat kes tersebut selepas dia diekstradisi.
“Apabila Chaowalit datang ke sini, pasti ada orang yang membantunya memasuki Indonesia. Sekarang kita sedang menyiasat untuk mengetahui siapa dalang di sebalik semua ini,” tegasnya.
Chaowalit melarikan diri dari sebuah hospital di selatan wilayah Nakhon Si Thammarat ketika menjalani hukuman penjara 20 tahun.
Beratus-ratus pegawai polis dikerah untuk menangkapnya dalam operasi yang dilaporkan menelan belanja sekitar 10 juta baht (RM1.2 juta).-AFP










