NEW DELHI: Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi menghampiri majoriti kerusi dalam dewan rendah Parlimen berdasarkan trend pengiraan awal namun jumlahnya jauh berkurangan daripada kemenangan besar yang diramalkan sebelum ini.
Perikatan Demokratik Nasional (NDA) yang memerintah kini berada di hadapan dengan 300 kerusi, sementara BJP memperoleh 255 daripada jumlah tersebut.
Perikatan pembangkang INDIA yang diketuai oleh Parti Kongres pimpinan Rahul Gandhi memperoleh 220 kerusi, lebih tinggi daripada jangkaan awal trend pengiraan undi.
Undian pertama yang dikira ialah undi pos, kebanyakannya dibuat oleh tentera yang berkhidmat di luar kawasan serta petugas pilihan raya.
Tahun ini, undi pos turut ditawarkan kepada pengundi berumur lebih 85 tahun dan orang kurang upaya untuk membolehkan mereka mengundi dari rumah.
Penggal ketiga Modi dengan majoriti tipis untuk BJP boleh menimbulkan ketidakpastian dalam tadbir urus kerana beliau sudah memerintah dengan pegangan besar ke atas kerajaan dalam dekad yang lalu.
Bagaimanapun, ahli politik dan penganalisis berkata, masih terlalu awal untuk mendapatkan gambaran yang kukuh tentang aliran pengundian kerana majoriti undi masih belum dikira.
“Ia adalah penilaian yang adil untuk mengatakan usaha memperoleh 400 kerusi pada masa ini sudah tentu kelihatan jauh.
“Tetapi BJP-NDA akan membentuk kerajaan dan trend itu sangat jelas dari awal,” kata jurucakap BJP, Nalin Kohli kepada saluran India Today.
Lebih 66 peratus atau sekitar 642 juta pemilih berdaftar keluar mengundi dalam kehangatan cuaca mencecah 50 darjah Celsius, hanya 1.1 peratus lebih rendah daripada pilihan raya pada 2019.
Modi, 73, yang mula berkuasa pada 2014 bakal menjadi Perdana Menteri kedua selepas pemimpin kemerdekaan India, Jawaharlal Nehru untuk memenangi tiga penggal berturut-turut.-REUTERS










