Hamas nafi buat pindaan gencatan senjata - Utusan Malaysia

Hamas nafi buat pindaan gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengingatkan sudah tiba masanya untuk Hamas menghentikan proses tawar-menawar, selepas pemimpinnya mencadangkan ‘banyak perubahan’ terhadap rancangan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan. 

Beliau memberitahu pemberita di Doha beberapa perubahan itu boleh dilaksanakan, tetapi AS dan pengantara Qatar dan Mesir ‘cuba menutup perjanjian ini’. 

Israel belum memberikan sebarang maklum balas, namun Blinken  berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengesahkan komitmennya semasa mesyuarat di Baitulmuqaddis, pada Isnin. 

Blinken berkata, beberapa pindaan yang dicadangkan oleh Hamas tidak ‘boleh dilaksanakan’, tetapi usaha untuk mencapai persetujuan masih diteruskan. 

Bercakap dari Doha bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammad Abdulrahman Jassim Al Thani pada Rabu, Blinken berkata, perang Israel di Gaza akan berterusan akibat tindak balas Hamas.

“Hamas mencadangkan banyak perubahan kepada cadangan di atas meja. Kami membincangkan perubahan itu bersama rakan sekerja dari Mesir. Beberapa perubahan boleh dilaksanakan, dan sebahagiannya tidak,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Hamas berkata, pihaknya bersedia untuk berurusan secara positif dengan proses itu, tetapi menekankan keperluan untuk Israel bersetuju dengan gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera sepenuhnya dari Gaza. 

Hamas turut menafikan dakwaan AS kononnya pihaknya cuba meminda cadangan gencatan senjata Palestin dan Israel dengan membawa beberapa idea baharu. 

Sebaliknya, Pemimpin Kanan Hamas, Osama Hamdan mengulangi pendirian kumpulan pejuang itu Israel yang menolak cadangan gencatan senjata. 

“Hamas tidak membawa sebarang idea baharu.  

“Hamas juga mahukan jaminan secara bertulis dari AS mengenai rancangan gencatan senjata berkenaan,” katanya. -AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN