NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan resolusi untuk mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu.
Resolusi itu diluluskan dengan 143 negara mengundi menyokong, sembilan mengundi menentang dan 25 berkecuali.
Teks yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mempertimbangkan semula perkara itu dengan baik.
Draf itu menyatakan Palestin layak untuk menjadi ahli dalam PBB mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli.
UNGA mengundi secara majoriti untuk memberikan Palestin beberapa hak tambahan dalam badan global itu, selepas usaha mereka untuk menjadi ahli penuh disekat oleh Amerika Syarikat (AS).
Walaupun undian itu tidak boleh memberikan keahlian PBB, resolusi yang diluluskan itu memberikan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan hak dan keistimewaan prosedur baharu bermula September ini.
Hanya negara anggota boleh mengundi, tetapi PA kini boleh duduk dalam kalangan negara anggota mengikut susunan abjad, mengemukakan, memperkenalkan atau menaja bersama cadangan serta pindaan.
Palestin juga boleh membuat kenyataan dan penjelasan undi serta mempunyai hak untuk membalas bagi pihak kumpulan dalam PBB termasuk boleh meminta cadangan untuk diundi atau meminta item untuk dimasukkan ke dalam agenda sementara UNGA.
Terdahulu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata apa yang dimahukan mereka hanya untuk melihat hak mereka ditegakkan dan undang-undang antarabangsa terpakai untuk mereka.
“Ketika kempen untuk mengusir dan membinasakan rakyat Palestin mencapai tahap paling tinggi, anda boleh membuat keputusan untuk berpegang teguh pada hak sesebuah negara.
“Hak untuk hidup dalam kebebasan dan bermaruah di atas tanah sendiri, untuk berdiri dengan aman, yang memerlukan pengiktirafan hak, bukan penafian berterusan.
“Tanpa ragu-ragu, harinya akan tiba di mana Palestin akan mengambil tempat yang sepatutnya dalam kalangan negara-negara bebas,” katanya.
Menurut Riyad, PA kini akan meminta keahlian penuh daripada UNSC.
Bagaimanapun AS memberi amaran kemungkinan akan memveto permintaan sedemikian seperti yang dilakukan pada 18 April lalu.-REUTERS










