PATUAKHALI: Sejuta penduduk terpaksa melarikan diri ke kawasan pedalaman akibat ribut taufan berskala besar melanda kawasan pantai di Bangladesh.
Pengarah Jabatan Meteorologi Bangladesh, Azizur Rahman berkata, ribut itu berterusan sehingga awal pagi Isnin.
“Kelajuan angin maksimum direkodkan sekitar 90 kilometer sejam (kmj), namun dikhuatiri akan meningkat lagi,” katanya.
Peramal cuaca menjangka angin ribut akan mencecah kelajuan sehingga 130 kmj, dengan hujan lebat dan angin kencang melanda negara jiran di India.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, ribut taufan yang berpunca akibat perubahan iklim meragut ratusan ribu nyawa di Bangladesh.
Ribut taufan berskala besar juga melanda kawasan padat penduduk dengan peningkatan mendadak dari setahun sekali kepada tiga kali setahun.
Pegawai Kaji Cuaca Kanan Bangladesh, Muhammad Abul Kalam Malik berkata, siklon itu boleh menyebabkan gelombang air laut pasang sehingga empat meter di atas paras biasa yang mengancam keselamatan.
Kebanyakan kawasan pantai di Bangladesh terletak satu atau dua meter di atas paras laut dan gelombang pasang yang tinggi boleh memusnahkan kampung-kampung.
Pihak kementerian dan pegawai bencana melaporkan 800,000 penduduk Bangladesh melarikan diri dari kawasan kampung di tepi pantai.
Lebih 50,000 orang di India pula dijangka berpindah ke kawasan pedalaman dari hutan bakau Sundarbans, iaitu Sungai Ganges, Brahmaputra dan Meghna yang bertemu dengan air laut.
Pihak berkuasa turut mengerahkan 10,000 sukarelawan untuk memberi peringatan kepada penduduk tentang ancaman bahaya.
Bagaimanapun, masih ramai penduduk yang mahu tinggal di rumah masing-masing kerana bimbang harta mereka dicuri.
Timbalan Pesuruhjaya Pelarian, Mohammad Rafiqul Haque berkata, sebanyak 57 pusat perlindungan dibuka di pulau rendah Bhashan Char yang menempatkan 36,000 pelarian Rohingya dari Myanmar.
Tiga pelabuhan negara dan lapangan terbang di bandar kedua terbesar di Chittagong juga terpaksa ditutup. -AFP










