Protes pro-Palestin merebak di universiti seluruh dunia

Protes pro-Palestin merebak di universiti seluruh dunia

PELAJAR mendirikan khemah sebagai tanda bantahan terhadap perang Gaza di luar Universiti Sydney.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Bantahan pelajar terhadap serangan tentera Israel ke atas Gaza merebak ke beberapa negara termasuk di universiti di Jerman, Australia dan Kanada.

Penunjuk perasaan berkumpul di lebih kampus universiti Amerika Syarikat (AS) sejak 17 April lalu, mendirikan khemah untuk membantah jumlah kematian yang meningkat di Semenanjung Gaza.

Menurut media AS, hampir 2,000 orang ditahan selepas polis menyerbu khemah dan dewan yang dikepung penunjuk perasaan dan mengeluarkan pelajar secara paksa termasuk satu di Universiti New York atas permintaan pentadbirnya.

Universiti Brown di Rhode Island berjaya mencapai persetujuan dengan pelajar untuk mengeluarkan kem mereka dari kawasan universiti sebagai pertukaran untuk mempertimbangkan usaha menghentikan kerjasama dengan  syarikat Israel yang menyokong genosid di Gaza.

Sementara itu, polis Perancis menyerbu dan menahan 91 penunjuk perasaan selepas sekumpulan pelajar mengadakan protes duduk di Sciences Po di Paris, sekolah sains politik terkemuka di negara itu bagi meminta institusi tersebut mengkaji semula hubungannya dengan universiti Israel.

Polis turut campur tangan untuk memindahkan penunjuk perasaan di luar Universiti Humboldt di tengah Berlin di Jerman.

Ratusan pelajar turut mengadakan bantahan terhadap perang Gaza di beberapa bandar di Kanada, termasuk Montreal, Ottawa, Toronto dan Vancouver.

Beratus-ratus penunjuk perasaan menyertai kem pertama dan terbesar di Universiti McGill Montreal, berikrar untuk kekal di kawasan itu sehingga pihak universiti memutuskan semua hubungan kewangan dan akademik dengan Israel.

Beratus-ratus penyokong Gaza dan Israel bertembung di Universiti Sydney Jumaat lalu, melaungkan slogan dan mengibarkan bendera namun kedua-dua bantahan tersebut dilaporkan berakhir dengan aman.

Penunjuk perasaan pro gencatan senjata turut berkampung selama 10 hari di atas rumput hijau di hadapan universiti menuntut pihak pentadbiran memutuskan hubungan dengan institusi Israel dan menolak pembiayaan daripada syarikat yang membekalkan senjata.

Di Ireland, pelajar di universiti Trinity College Dublin menyertai protes duduk sebagai perkhemahan perpaduan dengan Palestin.

Mexico pula menyaksikan berpuluh-puluh pelajar dari universiti terbesar negara, UNAM mendirikan kem di ibu negara  sambil melaungkan slogan ‘Bebaskan Palestin” dan ‘Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka’.

Mereka turut menggesa kerajaan Mexico memutuskan semua hubungan dengan Israel.

Sementara di Switzerland pula, kira-kira 100 pelajar berkumpul di pintu masuk sebuah bangunan di Universiti Lausanne, menggesa boikot akademik terhadap rejim Zionis dan gencatan senjata segera di Gaza.

Protes secara aman yang diadakan sejak Khamis lalu itu dilaporkan akan diteruskan sehingga Isnin depan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN