Israel halang bantuan masuk, sekat pesakit dapat rawatan di luar negara

Israel halang bantuan masuk, sekat pesakit dapat rawatan di luar negara

SEBUAH keluarga Palestin menaiki kereta kuda bersama barangan mereka berpindah ke Beit Lahia, di utara Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tindakan Israel menutup lintasan Rafah dan Kerem Shalom selama 13 hari berturut-turut menghalang 3,000 trak bantuan memasuki Gaza dan 690 pesakit daripada mendapatkan rawatan di luar negara.

Menurut pejabat media kerajaan Gaza, pendudukan Israel menghalang kemasukan bantuan makanan dan bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

“Sepanjang penutupan dua lintasan itu, tentera pendudukan menghalang kira-kira 3,000 trak bantuan daripada masuk dan menghalang 690 pesakit daripada melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar Semenanjung Gaza.

“Israel juga menghalang kemasukan bahan api ke hospital dan agensi yang menyediakan perkhidmatan kemanusiaan, sekali gus menggandakan krisis kemanusiaan yang mendalam di Semenanjung Gaza.

Menurut pejabat itu, keadaan kini semakin buruk berikutan tindakan tentera rejim Zionis yang menjadikan hospital sebagai sasaran serangan hingga perkhidmatan kesihatan di Gaza musnah, terbakar dan hampir lumpuh sepenuhnya.

“Ini jelas menunjukkan perbuatan pendudukan terhadap jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita,” katanya.

Pejabat media Gaza turut menganggap pendudukan Israel, pentadbiran Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab ke atas perang genosid yang sedang berlaku di wilayah terkepung itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 35,456 rakyat Palestin terbunuh, dan 79,476 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lalu.

Sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap mati di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh wilayah itu.

Pertubuhan Palestin dan antarabangsa mengesahkan majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak 

Perang Israel juga mengakibatkan kebuluran teruk, kebanyakannya di utara Gaza yang meningkatkan jumlah kematian dalam kalangan kanak-kanak.

Pencerobohan Israel juga mengakibatkan pemindahan hampir dua juta penduduk dari seluruh Semenanjung Gaza, sebahagian besarnya ke bandar selatan Rafah  berhampiran sempadan Mesir yang turut merupakan penghijrahan beramai-ramai terbesar sejak Nakba 1948.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN