Indonesia jalin kerjasama tarik pelaburan asing ke Nusantara

Indonesia jalin kerjasama tarik pelaburan asing ke Nusantara

RIDHA Wirakusumah (kiri) bersalaman dengan Bambang Susantono ketika majlis menandatangani kerjasama di Bali, Indonesia.-AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI: Pihak Berkuasa Permodalan Nusantara (OIKN) dan Pihak Berkuasa Pelaburan Indonesia (INA) menjalin kerjasama untuk menarik pelaburan global ke ibu kota baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur.

Ketua OIKN, Bambang Susantono mengalu-alukan kerjasama tersebut yang menggunakan rangkaian global diwujudkan oleh INA dan projek pembangunan strategik daripada OIKN bagi meningkatkan pelaburan di Nusantara.

“Usaha menandatangani pakatan kerjasama dengan INA susulan arahan Presiden, Joko Widodo (Jokowi) agar INA memudahkan OIKN merealisasikan pelaburan asing di Nusantara,” katanya ketika majlis menandatangani dokumen perkongsian strategik itu di Bali kelmarin.

Menurut Bambang, akan diadakan juga penyerahan surat kelulusan daripada OIKN kepada syarikat tenaga boleh diperbaharui, Masdar milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam merealisasikan pelaburan asing di Nusantara melalui skim Kerjasama Kerajaan dan Entiti Perniagaan (KPBU),” katanya kepada Antara News.

Katanya, dengan menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua badan tersebut, perkongsian itu dapat membangunkan Nusantara sebagai pusat ekonomi yang dinamik dan mampan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah INA, Ridha Wirakusumah menyatakan pihaknya akan secara aktif memudahkan penerokaan peluang pelaburan oleh pelabur global terkemuka di Nusantara.

“Perkongsian dengan OIKN membolehkan kami mengarahkan pelaburan secara strategik, membangunkan Nusantara sebagai ibu kota Indonesia yang memenuhi piawaian bertaraf dunia, meningkatkan kualiti hidup penduduknya dan memberi sumbangan positif kepada ekonomi Indonesia,” katanya.

Beliau menegaskan dalam tempoh tiga tahun lepas, INA sudah menjalin hubungan kukuh dengan pelabur di pelbagai negara.

“Sehingga kini, INA dan rakan kongsi pelaburan kami sudah melabur lebih AS$3.2 bilion (RM14.99 bilion). Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk menarik modal pintar yang strategik dan selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang Indonesia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×