JAKARTA: Ketua Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) Benny Rhamdani berkata, pekerja asing negara itu mempunyai peluang besar untuk mengisi keperluan jururawat yang semakin meningkat di Jerman.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Rhamdani menggariskan potensi itu semasa perbincangan dengan Duta Besar Indonesia ke Jerman, Arif Havas Oegroseno.
Beliau memberitahu Oegroseno, agensinya sedar bahawa Jerman kini kekurangan pekerja mahir dan memberi kemudahan kepada pekerja asing melalui pindaan Akta Imigresen Mahir dengan harapan dapat mengisi sekitar 1.98 juta kekosongan pekerjaan di negara itu.
“Ini sudah tentu akan membuka peluang besar kepada pekerja asing kami,” kata Benny pada mesyuarat yang diadakan semasa lawatan kerjanya ke Berlin.
Semasa pertemuan itu, Oegroseno berkata, 60 peratus daripada kekosongan di Jerman adalah dalam sektor kesihatan atau jawatan jururawat, dengan gaji antara 2,500 hingga 3,900 euro (RM 12,753 hingga RM19,897) sebulan.
Selain itu, jururawat akan mendapat penyamaan profesional di Jerman supaya apabila pulang ke Indonesia, mereka akan dianggap sebagai jururawat profesional yang berpengalaman antarabangsa.
Sehubungan itu, Rhamdani meminta skim penempatan itu diperluaskan dan bukan hanya diisi oleh pekerja asing di bawah skim kerajaan (G-to-G) tetapi juga dibuka melalui skim swasta (P-to-P).
“Sudah tentu BP2MI dan Kedutaan Indonesia di Berlin akan menyelia agar penempatan P-to-P dapat berjalan mengikut prosedur dan peraturan yang berlaku di kedua-dua negara,” tambahnya dipetik Antara News.
Beliau turut memuji Oegroseno atas sokongannya terhadap Program Triple Win bagi penempatan pekerja asing Indonesia di Jerman khususnya dalam sektor kesihatan.










